Halitosis

Halitosis, juga dirujuk sebagai "penyakit nafas berbau", merupakan suatu keadaan di mana terdapatya bau yang tidak menyenangkan dari nafas seseorang. Ia lazimnya terjadi akibat aktiviti tindak balas bakteria dengan makanan yang tertinggal di dalam mulut. Halitosis dianggarkan menjadi sebab ketiga terkerap orang mendapatkan bantuan pergigian, mengikuti karies gigi dan penyakit periodontium.[1]Halitosis biasanya berlaku kepada pesakit ataupun orang sihat pada saat bangun dari tidur pada waktu pagi. Ia terjadi disebabkan tindak balas bakteria yang berada di sekitar mulut terhadap bahan/sisa makanan yang tertinggal di dalam mulut, yakni di sekitar celah-celah gigi, kerongkong, lelangit, sekitar lidah dan gusi. Pakar pergigian berpandangan bahawa bakteria biasanya akan lebih aktif dalam mulut manusia ketika manusia itu sedang tidur, ini kerana pada waktu itu, nutrien di dalam mulut adalah banyak, selain pH air liur yang lebih berasid dan kurang aktiviti mengunyah dan bercakap menyebabkan persekitaran dalam mulut manusia baik untuk aktiviti kemandirian bakteria yang lebih aktif.Halitosis merupakan suatu penyakit yang mudah untuk dicegah dari terjadi dan mudah untuk dirawat, namun ia juga mudah berlaku jika kesihatan dan kebersihan mulut tidak dijaga rapi pada setiap masa. Terdapat juga kes yang lebih serius melibatkan halitosis kronik misalnya gangguan pada sistem penghadaman, kegagalan buah pinggang, kerosakan hati, masalah pernafasan dan sinusitis (jangkitan pada rongga tulang wajah), di mana setiap penyakit tersebut memerlukan rawatan yang lebih teliti.