Sejarah Hanarose

Hanarose ditubuhkan dan diuruskan oleh Cat Farish menerusi label Godzilla Boombox miliknya, yang mana beliau turut mengatur pertemuan antara Eka Sharif dan Isyariana Che Azmi. Sebelum penubuhan Hanarose, Eka ialah bekas peserta AF musim ke-9 manakala Isya ialah bekas peserta rancangan TV realiti RTM, i-Klon. Urusan promosi dan pemasaran dilakukan oleh Luncai Emas milik M. Nasir.[2][3] Menurut mereka:

"Kami cuba mengetengahkan diri sebagai duo yang tidak terikat kepada satu-satu genre, sebaliknya lebih bersifat versatil dengan menyanyikan variasi lagu yang terdiri daripada genre pop, R&B; dan balada [...] selain menyanyi, kami juga boleh menari disebabkan latar belakang kami yang sememangnya penari serta boleh menyanyi rap. Misi kami mudah sahaja iaitu mahu dikenali sebagai kumpulan duo yang serba boleh".[2]

Pada April 2014, duo ini melancarkan single sulung mereka, "Girlfriend" hasil nukilan Cat yang mengisahkan seorang wanita terhadap lelaki yang disukainya.[5][2][3] Mereka kemudian melancarkan single kedua, "Deritaku" yang dipilih sebagai lagu tema filem Pengantin Malam lakonan Nora Danish dan Farid Kamil, kemudian diikuti oleh dua single berikut, "Tiba Kini Waktu" dan "UFO".

Berikutan situasi di luar kawalan mereka, Hanarose dibubarkan pada 2016.[6][7] Eka meneruskan kerjaya solonya sementara Isya menyertai Akademi Fantasia musim ke-13, seterusnya mencipta nama sebagai pelakon.[4]