Kerjaya Hanna_Aqeela

Sebelum memulakan kerjaya lakonan, Hanna terlebih dahulu memulakan kerjaya hiburan sebagai model untuk iklan televisyen.[7] Kerjaya lakonan beliau bermula sebagai pelakon tambahan menerusi telefilem Aku Bukan Buaya untuk Cerekarama TV3 arahan Amie Maziah Abdul Rahman atau Mak Mie. Tawaran untuk watak tambahan itu diperolehi oleh beliau atas bantuan seorang rakannya yang membawa beliau bertemu Mak Mie.

Namun, kemunculan Hanna mula disedari selepas membintangi drama adaptasi novel, Bila Hati Berbicara, yang mengisi Slot Akasia di TV3. Beliau melakonkan watak Nadia, setiausaha kepada Emir Qasha lakonan Syafiq Kyle.[8]

Hanna kemudiannya dipilih menjadi teraju utama drama Dawai Asmara yang bersiaran di TV9, lakonan bersama Putri Najwa dan Emelie Hanif.[9] Beliau kemudiannya muncul dalam siri drama komedi romantik waktu perdana Love You Mr. Arang yang merupakan parodi drama Love You Mr. Arrogant.[10][11]

Kerjaya filem Hanna bermula pada tahun 2017 melalui gandingan beliau bersama Erwin Dawson dalam filem romantik Dubai My Love arahan Aidilfitri Mohd Yunos yang ditayangkan pada 26 Oktober.[12]