Sejarah Helikopter_penyerang

Prototaip AH-1, helikopter penyerang khusus yang pertama yang menjadi contoh pada helikopter penyerang moden pada hari ini.Prototaip CheyenneHelikopter Huey-Cobra pada hari ini.Helikopter penyerang Mil Mi-24 buatan Rusia.

Pada pertengahan 1960-an, Tentera Darat Amerika Syarikat telah memutuskan bahawa helikopter penyerang khusus dengan kelajuan dan kuasa tembak yang lebih berkuasa daripada helikopter bersenjata diperlukan untuk menentang tembakan dari darat (biasanya menggunakan mesingan berat dan roket anti kereta kebal) daripada tentera Viet Cong dan Tentera Darat Vietnam Utama. Berdasarkan situasi ini dan penglibatan A.S yang semakin meningkat di Vietnam, Tentera Darat A.S. telah membangunkan keperluan bagi helikopter penyerang khusus, iaitu program Sistem Sokongan Tembakan Udara Termaju (AAFSS). Pada 1965, rekabentuk helikopter daripada firma Lockheed iaitu AH-56 Cheyenne bagi tujuan ini telah dipilih.[1]

Meskipun Tentera Darat A.S telah mula membuat perolehan bagi helikopter penyerang khusus yang baru, penambahbaikan terhadap keupayaan helikopter yang telah diubahsuai bagi sementara waktu masih diperlukan (seperti helikopter UH-1B/C). Pada akhir 1965, satu jawatankuasa pegawai tinggi telah dipilih bagi menilai beberapa versi prototaip helikopter bersenjata untuk mendapatkan versi yang mempunyai peningkatan keupayaan paling ketara berbanding helikopter UH-1B. Tiga buah versi helikopter diatur berdasarkan kedudukan semasa penilaian iaitu; Sikorsky S-61, Kaman H-2 Tomahawk, dan Bell Huey Cobra. Helikopter-helikopter ini dipilih untuk bersaing dalam ujian penerbangan yang dijalankan oleh Aktiviti Ujian Penerbangan Tentera Darat. Setelah selesai penilaian penerbangan, Aktiviti Ujian telah mencadangkan helikopter Huey Cobra buatan Bell sebagai helikopter bersenjata sementara sehingga helikopter Cheyenne sedia untuk memasuki perkhidmatan. Pada 13 April 1966, Tentera Darat A.S telah menganugerahkan Bell Helicopter Company satu kontrak pengeluaran bagi 110 buah helikopter AH-1G Cobra.[1] Cobra memiliki fiuslaj yang berbentuk lampai dan ramping bagi menjadikan bentuknya lebih kecil, meningkatkan pelindungan perisai, serta lebih laju.

Pada 1967, helikopter pertama AH-1G telah dikerahkan ke Vietnam. Pada masa yang sama, helikopter Cheyenne berjaya melengkapkan penerbangan sulung dan penilaian penerbangan awal. Dan sementara program Cheyenne mengalami beberapa masalah selama beberapa tahun disebabkan oleh masalah-masalah teknikal, helikopter Cobra telah mengukuhkan reputasinya sebagai platfom persenjataan udara yang cekap, meskipun mengalami masalah keupayaan jika dibandingkan dengan helikopter AH-56,[1] dan juga isu-isu berkaitan dengan rekabentuknya sendiri. Sehingga 1972, apabila program Cheyenne kemudian dibatalkan bagi memberi laluan kepada program Helikopter Penyerang Termaju[1], helikopter "Snake" sementara telah mengukuhkan reputasinya sebagai sebuah helikopter penyerang.

Selepas Perang Vietnam, terutamanya apabila memasuki tahun 1990-an, helikopter penyerang yang dilengkapi peluru berpandu berevolusi menjadi sebuah senjata anti kereta kebal utama. Berupaya untu bergerak ke medan pertempuran dengan pantas dan melancarkan "serangan pantas", helikopter mendatangkan ancaman utama walaupun dengan kehadiran pertahanan udara organik. Helikopter bersenjata menjadi alat utama bagi Tentera Darat A.S dan negara-negara Pakatan Warsaw dalam peperangan kereta kebal, dan kebanyakan helikopter penyerang menjadi semakin digunakan dalam misi anti kereta kebal.[2] Kor Marin Amerika Syarikat melihat helikopter, sepertimana aset pesawat kepak kaku yang lain, berperanan dalam memberi sokongan dekat udara, dan memiliki helikopter sokongan dekat khusus seperti AH-1 Cobra and AH-1 Super Cobra. Walau bagaimanapun, helikopter Soviet masih mengekalkan keupayaan untuk mengangkut tentera selain memiliki keupayaan sebagai helikopter penyerang.

Meskipun helikopter cukup efektif sebagai berperanan sebagai pemusnah kereta kebal d Timur Tengah, helikopter penyerang dilihat lebih berpotensi dalam misi pelbagai peranan. Taktik, seperti tank plinking, membuktikan bahawa pesawat kepak kaku lebih efektif dalam memusnahkan kereta kebal, akan tetapi helikopter mengekalkan ciri-ciri penerbangan aras rendah yang unik dan keupayaan terbang perlahan bagi peranan sokongan udara dekat. Helikopter khusus yang lain dibangunkan untuk misi operasi khas, termasuk helikopter MH-6 bagi sokongan dekat udara ekstrem.

Peranan "serangan jauh ke dalam" secara bebas oleh helikopter penyerang menjadi tanda tanya setelah kegagalan misi semasa serangan ke atas Karbala semasa Perang Teluk 2003.[3] Misi kedua di kawasan yang sama, empat hari kemudian dengan bantuan tembakan artileri dan sokongan pesawat kepak kaku,[4] adalah lebih berjaya dan dengan kehilangan yang lebih kecil.