Salinan Hikayat_Merong_Mahawangsa

Tiada siapa yang tahu bila Hikayat Merong Mahawangsa pertama kali dikarang. Pembayang utamanya mungkin terletak dalam mukadimahnya yang berbunyi: "Adalah pada suatu masa zaman Sultan Muazzam Shah ibnu Sultan Muzalfal Shah yang maha mulia kerajaan negeri Kedah, pada suatu hari baginda keluar ke penghadapan, …" Sultan Muazzam Shah sebenarnya memerintah dari tahun 1179–1201. R.O. Winstedt mula-mulanya mengusulkan tahun 1612 sebagai tahun asalnya, namun beberapa sejarawan Kedah meragui anggapan ini kerana sastera Melayu belum berkembang ketika itu. Nampaknya ramai sejarawan berpendapat bahawa manuskrip asli Hikayat ini ditulis pada abad ke-19, apatah lagi sekitar tahun 1821, berasaskan peristiwa pembakaran salinan buku Hikayat ini atas perintah kerajaan Siam, melalui gabenor di Ligor, pada tahun itu.[1][2] Ketika itu, negeri Kedah menjadi negeri ufti Siam, oleh itu kerajaan Siam membenci mana-mana tindakan yang kelihatan mencabar kewibawaannya baik dalam negara sendiri mahupun negeri-negeri uftinya.[2]

Catatan pusaka Hikayat Merong Mahawangsa masih disimpan dalam beberapa salinan manuskrip yang diterbitkan pada zaman pendudukan Barat di Nusantara sekitar abad ke-19 dan awal abad ke-20 sebagai panduan. Antaranya:[2]

  1. Hikayat Merong Mahawangsa versi Ms. Maxwell 21 yang merupakan koleksi pertama milik W. Maxwell. Naskhah ini ditulis sepanjang 149 halaman tanpa nombor di setiap halamannya, dan telah diserahkan kepada Perpustakaan Royal Asiatic Society, London. Di dalamnya terdapat tanda tangan Maxwell dan catatan Singapore, 1884 M.
  2. Hikayat Merong Mahawangsa versi Ms. Maxwell 16 oleh W. Maxwell. Naskhah ini tersimpan di Perpustakaan Royal Asiatic Society, London. Naskhah ini disalin oleh Muhammad Nuruddin bin Ahmad Rajti pada 2 September 1889 M di Pulau Pinang dengan panjang 207 halaman.
  3. Sjadjarah Negeri Kedah atau Hikayat Merong Mahawangsa, yang dikenali sebagai versi von de Wall, No. 201. Naskhah salinan ini ditemukan oleh von de Wal ketika beliau di Riau.
  4. Hikayat Merong Mahawangsa atau Sejarah Negeri Kedah. Naskhah ini ditulis di Kampung Sungai Kallang, Singapura. Di dalamnya tercatat tahun 1876 M. Salinan manuskrip ini disimpan di Perpustakaan Bodleian, Universiti Oxford, England.
  5. Hikayat Merong Mahawangsa versi R.J. Wilkinson, dicetak batu dalam tulisan Jawi berukuran fulskap oleh Kim Sik Hian Press, No. 78, Penang Street. Versi ini disalin pada 16 November 1898 oleh Muhammad Yusuf bin Nasruddin di Pulau Pinang.
  6. Hikayat Merong Mahawangsa versi Sturrock yang diterbitkan dalam Journal of The Royal Asiatic Society, Straits Branch (JRASSB) No. 72, Mei 1916 M di halaman 37-123, yang dicetak menggunakan tulisan Rumi (tulisan romawi).
  7. Hikayat Merong Mahawangsa versi Logan yang merupakan koleksi J.R Logan, kini tersimpan di Perpustakaan Nasional Singapura dengan nombor arkib qMR 8999, 2302 HR.

Hikayat Merong Mahawangsa turut dirakam dalam bentuk ulasan historiografi oleh Siti Hawa Haji Salleh, terbitan Universiti Malaya pada tahun 1991.[3] Buku ulasan ini memetik ceritanya daripada tiga buah manuskrip, iaitu Maxwell 16, Maxwell 21, dan Von de Wall 201.[4]

Rujukan

WikiPedia: Hikayat_Merong_Mahawangsa http://mcp.anu.edu.au/N/MW_bib.html http://themalaypress.blogspot.com/2009/07/manuskri... http://sasterarakyat-kedah.com/index.php?cat=5 http://www7.plala.or.jp/seareview/newpage6langkasu... http://books.google.com.my/books?id=b2G5AAAAIAAJ&q... http://books.google.com.my/books?id=dtNx3QcEg_cC&p... http://www.sinemamalaysia.com.my/film/info/?id=Mer... http://www.sinemamalaysia.com.my/main/article/Hika... http://mymanuskrip.fsktm.um.edu.my http://mymanuskrip.fsktm.um.edu.my/Greenstone/cgi-...