Sejarah Hospital_Bahagia

Pada tahun 1910, dengan pemilihan tapak yang dicadangkan oleh Dr. Samuels, kerajaan telah membina sebuah hospital yang diberi nama Federal Lunatic Asylum. Pembinaan siap pada tahun 1911 dan Dr. W.F. Samuels dilantik menjadi Penguasa Perubatan yang pertama. Pada peringkat awal perkembangan Federal Lunatic Asylum merupakan sebuah yayasan psikiatri yang mengandungi 3 buah wad lelaki dan sebuah wad perempuan yang dipisahkan oleh ruang dapur.

Pada tahun 1928 Federal Lunatic Asylum diubah nama kepada Central Mental Hospital dan pada awal tahun 1970-an nama telah diubah kepada Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk menampilkan imej yang lebih positif ke atas perkembangan rawatan psikiatri. Kini, Hospital Bahagia Ulu Kinta merupakan yayasan psikiatri terbesar dari empat buah yayasan yang wujud di Malaysia.

Keluasan asal Hospital Bahagia Ulu Kinta ialah 544 ekar di mana lebih kurang 300 ekar digunakan untuk mendirikan pelbagai bangunan dan bakinya digunakan untuk aktiviti–aktiviti pemulihan pesakit seperti pertanian, penternakan dan perikanan. Namun begitu, pada tahun 2007 sebanyak 41 ekar telah diserahkan untuk pembinaan Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Ulu Kinta.