Sejarah Hubungan_bahasa_Jepun_dengan_bahasa_Melayu

Mengikut sejarah Melayu yang dikisahkan dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu), orang-orang dari kepulauan Kyūshū telah mula menjalinkan hubungan perdagangan dengan Melaka sejak zaman pemerintahan Megat Iskandar Shah (Parameswara). Namun selepas itu, rombongan pedagang ini telah dihalau balik ke negeri Kyūshū kerana kebanyakan mereka bersikap tidak senonoh kerana suka mengganggu ketenteraman awam seperti menganggu anak-anak dara orang Melaka.

Pelopor bahasa Melayu terkemuka di Jepun yang bernama Moriyama telah menerangkan sejarah perkembangan bahasa Melayu di Jepun dalam karangannya yang telah mencatatkan orang Jepun mula belajar bahasa Melayu sejak 100 tahun yang lalu. Beliau menerangkan bahawa buku bahasa Melayu pertama terbit pada awal 1900-an dan kini jumlah pelbagai buku dan kamus Melayu sudah melebihi 200 buah. Moriyama mencatatkan keadaan tersebut ketika mengisahkan perjalanan Marquis Yoshichika Tokugawa (1886-1976), seorang pembesar Jepun yang disebut sebagai pelopor pelajaran bahasa Melayu di negeri Jepun setelah menjelajah Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Jawa. Beliau kemudian menjadi ketua Muzium Singapura dan Botanical Gardens semasa Perang Pasifik.

Karangan tersebut juga telah diterbitkan dalam sebuah buku berjudul Lost Times and Untold Tales from the Malay World (NUS Press Singapore 2009). Disiarkan juga gambar salah sebuah buku pertama bahasa Melayu itu yang diterbitkan pada tahun 1912, berjudul Marai-go Dokusyu, lengkap bertulisan Jawi.

Dalam cerita yang lain, Moriyama turut menerangkan kisah sebilangan kecil orang Jepun yang merantau ke negeri-negeri sebelah selatan kepulauan Jepun dan Asia Tenggara. Kebanyakan perantautersebut adalah daripada kalangan peniaga kecil dan juga pelacur. Namun atas usaha yang gigih, sebilangan mereka berjaya mempunyai ladang-ladang getah dan ada juga yang melabur dalam industri bijih timah di Tanah Melayu. Lantaran itu, kebanyakan mereka telah mula fasih berbahasa Melayu.

Moriyama juga mencatatkan bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa terpenting kerana digunakan secara meluas di negeri-negeri yang dijajah oleh Inggeris dan Belanda khususnya di sekitar gugusan kepulauan Melayu.