Sejarah Hulu_Perak

Sejarah Pembukaan

Pada tahun 1511, setelah Kerajaan Melaka jatuh ke tangan Portugis, Sultan Mahmud Shah telah berpindah dan menubuhkan kerajaannya di Bentan. Pada tahun 1526, Portugis telah menyerang kerajaannya sekali lagi menyebabkan baginda terpaksa berundur ke Kampar dan menubuhkan kerajaannya di sana.

Pada masa itulah Tun Saban telah berhijrah ke Hulu Patani dan tinggal di satu tempat bernama Beredung Budi; kemudian berpindah ke Hutan Belum, di Hulu Perak, dan membuka kampung di tempat yang bernama Relap Hati lalu menjadi ketua orang-orang di Hutan Belum.

Tun Saban

Pada masa itu, Negeri Perak belum ada raja tetapi penduduknya sudah ramai. Maka pada suatu ketika yang baik, Tun Saban telah pergi ke Kampar, mengadap Sultan Mahmud Shah, memohon seorang putera baginda untuk dirajakan di Perak. Baginda lalu mengurniakan puteranya bernama Raja Muzaffar beserta dengan alat kebesaran negeri. Pada tahun 1528, Raja Muzaffar telah ditabalkan menjadi Sultan Perak yang pertama dengan gelaran Paduka Seri Sultan Muzaffar Shah ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Shah.

Setelah Tun Saban meninggal dunia,(tiada catatan mengenai tarikh sebenar) tetapi mayatnya dikebumikan di Changkat Merah dan hingga sekarang pusaranya itu terkenal dengan nama Keramat Tok Merah. Beberapa orang keturunannya dilantik menjadi Orang Besar di Negeri Perak.

Keramat Tok Merah mungkin ada kebenaran. Namun, menurut ahli surih tua. Tun Saban Makamnya dikebumikan di GUnung Bubu. Namun kesahihan ada sebetulnya kerana Gunung Bubu yang sebetulnya terletak di Kuala Kangsar.

Penamaan Asal

Kira-kira seratus tahun dahulu, tempat yang sekarang bernama Gerik itu masih diliputi oleh hutan belantara dan masih terletak di bawah pemerintahan Raja Reman. Dalam tahun 1870, beberapa orang telah datang dari Patani mengikut Sungai Hangai lalu membuka hutan di Kuala Sungai tersebut untuk dijadikan kampung. Mereka diketuai oleh seorang tua bernama Tok ‘Ad (Tok Sa’ad).

Tiada beberapa lama lepas itu, Raja Negeri Reman yang bernama Tuan Jagong, datang memburu gajah di Gunung Tujuh berhampiran dengan Kuala Kenderong. Baginda mendengar cerita bahawa tiada jauh dari situ ada kampung orang terletak di tengah-tengah hutan.

Ketika Raja Reman menghampiri kampung tersebut, baginda terdengar suatu bunyi yang ganjil dari perdu serumpun buluh. Baginda memerintahkan supaya dipagar keliling perdu buluh itu dengan sasak dan menyuruh orang-orangnya menggali untuk mencari punca bunyi yang ganjil itu.

Setelah digali hingga ke pangkal perdu buluh itu, maka kelihatanlah berpuluh-puluh ekor dekan (Dekan, nama sejenis binatang rupanya seakan-akan tikus) sedang menggerit (memakan) umbi buluh. Oleh sebab umbi buluh itu sangat keras, maka gigitan dekan-dekan itu telah menghasilkan bunyi berkerit-kerit.

Raja Reman telah menamakan tempat itu Kampung Gerit. Sebutan `Gerit’ itu telah dipakai beberapa lama, tetapi orang-orang yang kemudian telah mengubah sebutan dan ejaannya daripada ` Gerit’ kepada `Grik’, kemudian menjadi `Gerik’ seperti yang digunakan sekarang.

Kelian Intan

Pada masa dahulu seorang pembesar Negeri Reman bernama Wan Itam telah membuka kelian (lombong bijih timah) berhampiran dengan Gunung Paku. Semenjak itulah tempat tersebut dipanggil orang `Kelian Wan Itam’. Lama-kelamaan perkataan `Kelian Wan Itam’ itu telah berubah sebutannya menjadi ` Kelian Intan’.