Plot Impak_Maksima_the_Series

Episod 1–13

Sebagai bekas pelumba kereta dan anak yatim piatu, Johari berpegang teguh kepada amanah aruah ibu bapanya untuk membesarkan adiknya Ayie, agar berjaya dalam kehidupan. Dengan mengusahakan bengkel keretanya, Johari boleh dikira berjaya, sehingga mampu membiayai adiknya itu yang sedang menuntut di kolej.

Ayie yang masih berdarah muda, bagaimanapun, menyimpan minat yang mendalam dalam dunia pemotoran dan perlumbaan, sehingga menyebabkan hubungan dua beradik ini seringkali bermasalah. Mujurlah mereka dikerumuni sekumpulan rakan baik yang selalu menjadi orang tengah dalam memperbaiki hubungan mereka.

Fara dan Shikin merupakan dua adik-beradik yatim piatu yang membuka warung berhampiran dengan bengkel. Hubungan Johari dan Fara baik sekali, sehingga kadang-kala mereka berasa sukar untuk mendefinisikan perhubungan yang sebenar. Shikin pula bercinta dengan Amran, seorang pekerja di bengkel Johari, yang juga merupakan kawan baik Ayie. Bersama-sama dengan Loyai, mereka bertiga selalu menimbulkan huru-hara dan mengharungi suka duka kehidupan bersama.

Ayie mula menunjukkan perubahan yang ketara selepas berkenalan dengan Eva, seorang gadis baru di kolej, yang baru pulang dari Australia. Namun begitu, kehadiran Zack (musuh Ayie di kolej) dan Mimi (bekas kekasih Ayie) menimbulkan banyak masalah, sehingga akhirnya hubungan Ayie dan Eva terputus di tengah jalan.

Bosan dengan kehidupannya yang sering kali dilanda masalah, Ayie akhirnya membawa diri ke kampung selepas berkenalan dengan Hanim. Hubungan Hanim dan Ayie semakin rapat apabila Ayie membantu gadis itu menangani masalah pembuli budak kampung. Di saat hubungan mereka semakin baik, Eva pula terlibat dalam kemalangan sehingga menyebabkan Ayie berada dalam dilema semula untuk memilih dua orang gadis yang dicintainya.

Johari turut menghadapi masalah yang sama selepas berkenalan dengan Anita yang merupakan kakak Eva. Hubungan mereka bertambah baik, tetapi jauh di sudut hati, Johari seolah-olah masih menaruh harapan terhadap Fara. Bagaimanapun, kehadiran Rizwan, bekas kekasih Fara, menyebabkan Johari akhirnya melepaskan niatnya, kerana dia mahu Fara mendapat kehidupan yang lebih baik dengan lelaki itu.

Tidak cukup dengan masalah emosi yang dihadapi, hidup Ayie dan Johari juga bakal tergugat dengan kemunculan Zul, bekas pemandu yang baru keluar dari penjara. Terulit semula sejarah hitam antara keluarga Zul dan Johari, sehingga menyebabkan lelaki itu sanggup menggadaikan segalanya untuk menghancurkan keluarga Johari, demi mahu menuntut bela terhadap keluarga. Bukan sekadar itu, Zul turut cuba menganiaya orang-orang di sekitar Johari termasuk Amran, dengan melibatkannya dalam sindiket mencuri motosikal.

Segala permasalahan emosi dan rencah aksi ini akhirnya terungkai apabila perangkap Zul akhirnya memakan diri sendiri. Dengan segala pancaroba yang melanda, Johari semakin matang menghadapi dugaan. Dia melawan ego dan akhirnya memutuskan untuk mengikut gerak hatinya dan berhadapan dengan Fara untuk menyatakan isi hati. Pun begitu, masa yang ada mungkin tidak mengizinkan Johari berbuat demikian, memandangkan Fara bakal dinikahkan pada bila-bila masa sahaja.

Begitu juga dengan dilema Ayie yang harus memilih antara Eva dan Hanim. Walau siapa pun pilihannya, Ayie yakin pasti ada yang akan terluka.

Episod 14–26

Fara meneruskan perkahwinannya dengan Rizwan. Melihat pengorbanan yang telah Anita lakukan, Johari akhirnya melamar wanita itu menjadi isterinya. Ayie dan Eva pula kekal menjadi kawan biasa. Sementara Hanim berundur dalam hubungan itu, lalu pulang meneruskan kehidupan di kampung. Mereka semua meneruskan kehidupan seperti biasa, sehinggalah muncul seorang lelaki tua bergelar Atai (Moin) di bengkel. Atai merupakan bekas ketua Johari di zaman remajanya dan baru sahaja dibebaskan dari penjara. Kerana rasa terhutang budi, Johari mengajak Atai hidup bersamanya dan menjadi mekanik di bengkelnya.

Kehadiran Atai menimbulkan banyak masalah. Loyai menyangsi niat orang tua itu apabila melihat hubungannya yang sebegitu rapat dengan Shikin. Ironiknya, Atai juga yang akhirnya menjadi orang tengah dalam merapatkan hubungan Loyai dan Shikin, sehingga mereka berjaya menjadi pasangan kekasih.

Kemunculan Atai juga menyebabkan Johari terpaksa berhadapan dengan kumpulan samseng yang mahu Atai mati, kerana khuatir lelaki itu cuba merampas kedudukannya dalam hierarki kumpulan gengster. Tidak cukup dengan masalah itu, Johari menghadapi masalah rumah tangga apabila isterinya, Anita, masih menyangsi perasaannya yang sebenar terhadap Fara. Hubungan Fara dan Rizwan juga sering kali tercabar, sehingga akhirnya, Rizwan dan Anita bertemu untuk berbincang tentang masalah sebenar yang dihadapi. Malangnya, pertemuan Rizwan dan Anita itu bakal membawa kepada masalah baru yang lebih besar dan rumit.

Kemuncak permasalahan ini berlaku apabila Anita meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya. Johari yang mengesyaki penglibatan samseng, mula menukar fikiran. Apabila bedah siasat mendapati arwah isterinya telah mengandung semasa kemalangan itu, Johari pasti kandungan itu bukan miliknya, dan lelaki yang bertanggungjawab itu ada kaitan dengan kematian Anita. Hubungan baik antara Johari dan Fara bakal berubah apabila mereka dapati Rizwan mungkin menjadi orang yang bertanggungjawab menghamilkan Anita.

Bermula dengan pembabitannya sebagai pelagak ngeri filem, Ayie akhirnya ditawarkan untuk menjadi artis realiti dalam program berkisar tentang kehidupan keluarga mereka di bengkel. Hubungan Ayie dengan Eva bagaikan teranyam semula, tetapi kepulangan Tommy, bekas tunang Eva dari Australia, mencungkil masalah baru.

Pelbagai masalah diharungi mereka, sehingga akhirnya Tommy dipenjarakan kerana menyebabkan kematian dalam suatu kemalangan. Abang Tommy, Shaun, yang merupakan seorang peguam yang licik mula menyimpan dendam untuk menghancurkan mereka sekeluarga.

Tidak cukup dengan rancangan Shaun, Johari, Ayie dan rakan-rakan mereka bakal berhadapan pula dengan Ray, bekas ketua samseng kejam, yang turut mempunyai sejarah hitam dengan Johari. Apabila Shaun dan Ray akhirnya bersatu, segalanya macam tidak kena untuk Johari dan Ayie yang menghadapi suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan mereka buat selama-lamanya.