Istana_Arau

Istana Arau terletak di Bandar Diraja Arau, lebih kurang 10 kilometer dari Bandar Kangar, Perlis. Bangunan ini merupakan kediaman rasmi atau tempat kediaman (bersemayam) Raja-Raja Negeri Perlis. Ianya dibina sekitar tahun 1905 semasa zaman pemerintahan Tuanku Raja Syed Alwi Jamalullail.Selepas kemangkatan Tuanku Syed Alwi, Istana Arau didiami pula oleh Tuanku Raja Syed Safi Jamalullail dan Tuanku Syed Hamzah Jamalullail semasa pemerintahan Jepun.Selepas tamatnya era pemerintahan Jepun di Malaya, Istana Arau kembali didiami pula oleh Raja Perlis yang berikutnya iaitu Tuanku Syed Putra Jamalullail (era zaman pemerintahan Kerajaan British). Tidak beberapa lama baginda bersemayam di Istana Arau, Tuanku Raja Syed Putra berpindah ke kediaman resmi baginda sendiri di Istana Kenangan Indah Repoh, Kangar sehinggalah baginda mangkat pada tahun 2000.Selepas Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail mangkat, bangunan Istana Arau tidak didiami oleh pengganti berikutnya. Istana Arau berfungsi sebagai tempat mengadakan upacara resmi penganugerahan pingat dan bintang kehormat, majlis mengadap tetamu-tetamu kehormat vvip, dan pembesar-pembesar Negara dan Negeri.