Istikhlaf

Istikhlaf bererti imam digantikan oleh salah seorang daripada makmumnya (lalu menjadi imam) bagi menyempurnakan solat mereka, disebabkan keuzuran imam pertama itu. Jika imam keluar daripada solatnya disebabkan berhadas, atau biarpun dengan tiada sebab, adalah diharuskan bagi salah seorang makmum menggantikannya. Disyaratkan bagi makmum yang menggantikan imam itu adalah pengganti (khalifah/mustakhlif) yang sah menjadi imam kepada jemaah yang lain. Jika imam itu diganti oleh makmum yang kurang fasih dalam bacaan fatihah (ummiyan), atau orang bisu, atau orang yang tidak jelas bacaannya seperti mendengungkan pada tempat yang tidak dengung serta mengubah bacaan, maka tidak sah solat makmum yang lain jika mengikutinya, kerana ia tidak sah menjadi imam. Disyaratkan juga imam itu diganti oleh makmum yang berada di saf pertama betul-betul di belakang imam. (nota sampingan: makmum saf pertama di belakang imam adalah bertanggungjawab untuk menegur imam di kala kesilapan bacaan dan perbuatan solat dengan isyarat bacaan "Subhanallah") Imam yang keluar itu hendaklah keluar dengan tertib, sekurang-kurangnya beralih ke kirinya jika tiada luang kosong untuk ia mundur. Kemudian makmum yang mengganti imam itu hendaklah pula maju ke hadapan dengan tidak lebih dari dua pergerakan langkah. Tempatnya yang kosong di saf hendaklah pula diisi oleh makmum lain, sama ada di sebelah atau di belakang, dengan tidak lebih dari dua pergerakan langkah. Istikhlaf hendaklah dilakukan dengan serta-merta. Jika imam keluar daripada jemaah sedangkan makmum telahpun lanjut melakukan satu rukun, maka ditegah penggantiannya selepas itu. Juga ditegah penggantiannya jika makmum tersebut diam terlalu lama dengan kadar berlalunya satu rukun, sama ada rukun fi‘li (perbuatan) atau rukun qauli (percakapan). Sekiranya didapati tiada sesiapa yang maju menggantikan imam, maka makmum diperbolehkan mufaraqah (berpisah) dari berjemaah dan meneruskan solat bersendirian. Tidak disyaratkan ke atas makmum dalam istikhlaf untuk berniat lagi untuk menjadi makmum, kerana mustakhlif (pengganti) itu sudah dalam kedudukan imam yang awal.