Pengenalan JSLC

Selaras dengan perkembangan pesat Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia, pembentukan pemimpin pelapis berwibawa diperlukan untuk memenuhi keperluan modal insan wilayah ini. Adalah dijangkakan bahawa Iskandar Malaysia bakal menyediakan peluang pekerjaan berjumlah lebih 600,000 hingga 800,000 menjelang tahun 2025. Peluang ini juga merangkumi jawatan di peringkat pengurusan tertinggi sama ada dalam sektor korporat, sektor awam, pemimpin masyarakat mahupun bidang politik yang semestinya memerlukan pelapis berkualiti dalam memastikan kesinambungan pembangunan dan pertumbuhan pesat di Iskandar Malaysia. Justeru, satu usaha untuk melatih dan menyediakan sumber manusia yang kompetitif dan bertaraf dunia harus dilaksanakan seawal peringkat sekolah selari dengan perkembangan fizikal dan sosial yang pesat di koridor selatan ini. Pendidikan merupakan medium yang paling sesuai dalam pembentukan modal insan berkualiti terutama dalam membentuk barisan pemimpin masa hadapan. Atas keperluan ini dan dibantu dengan keupayaan yang ada di Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), satu inovasi pintar telah dibuat dengan menyeragamkan hierarki kepimpinan pelajar di sekolah-sekolah negeri Johor yang lebih sistematik melalui program Majlis Pemimpin Muda Johor atau Johor Student Leaders Council (JSLC)[1].

Program ini dirangka mengikut tiga fasa; Latihan Kepimpinan dalam Negeri, Latihan Kepimpinan Luar Negara dan Penilaian Berdasarkan Projek Inisiatif. Pada peringkat fasa latihan dalam dan luar negara, elemen dan soft skills dalam kepimpinan menjadi tunjang kepada pembelajaran ahli JSLC.

Pelajar-pelajar terbaik negeri Johor dipilih untuk menganggotai JSLC dan diberi latihan kepimpinan di peringkat tempatan dan antarabangsa. Suntikan elemen antarabangsa diperlukan untuk menyediakan pemimpin yang glokal dan lebih luas pemikirannya dalam mengharungi cabaran globalisasi dan dunia tanpa sempadan. JSLC merupakan salah satu showcase JPNJ untuk mengumpul bakat kepimpinan pelajar dalam usaha untuk menerajui tampuk kepimpinan masa depan.

Berkaitan