Sejarah Jabatan_Perlindungan_Hidupan_Liar_dan_Taman_Negara

Asalnya, jabatan ini bernama Jabatan Mergastua. Pada 5 April 1972 namanya telah ditukar kepada nama sekarang. Pada masa yang sama Akta Perlindungan Hidupan Liar No. 76 yang mengandungi 106 seksyen itu turut diwartakan. Seterusnya akta Akta Perlindungan Hidupan Liar No. 76 telah dipinda pada tahun 2010 menjadi Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [AKTA 716].


ORDINAN PERLINDUNGAN HIDUPAN LIAR DAN BURUNG DILULUSKAN

Pada hari ini dalam tahun 1955, Ordinan Perlindungan Hidupan Liar dan Burung diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu. Sebelum itu, beberapa ordinan dan enakmen berhubung dengan peraturanperaturanPerlindungan Hidupan Liar seperti berikut telah diwujudkan dan dilaksanakan. Antaranya;

i. Ordinan Negeri-Negeri Selat No. 111 tahun 1894, memberi perlindungan bagi burung-burung liar. Ordinan yang serupa telah dilaksanakan di negeri Selangor pada tahun 1889;

ii. Enakmen Perlindungan Hidupan Liar dan Burung tahun 1902 bagi negeri Selangor dan Perak. Enakmen yang serupa dilaksanakan di Negeri Sembilan pada tahun 1903;

Pada tahun 1904 negeri Perak, Selangor dan Negeri Sembilan meluluskan satu enakmen baru yang buat pertama kalinya memperuntukkan pembayaran bagi lesen-lesen berburu dan memperuntukkan peraturan menghalang dari memburu binatang liar dan rusa yang belum matang serta menentukan panduan peringkat kematangan hidupan liar termasuk rusa; Enakmen Hidupan Liar dan Perlindungan Burung-Burung yang pertama bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu diluluskan pada tahun 1911. Enakmen yang sama telah dilaksanakan di negeri Johor pada tahun 1912. Dalam tahun 1921, peruntukan bagi penubuhan satu badan untuk melaksanakan undang-undang hidupan liar telah dimasukkan dalam Enakmen Hidupan Liar dan Perlindungan Burung Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ini.

Berikutnya pada tahun 1930, Suruhanjaya Hidupan Liar telah ditubuhkan untuk mengkaji isu-isu Perlindungan Hidupan Liar di tiap-tiap negeri. Dalam tahun 1937, Jabatan Mergastua telah ditubuhkan sebagai hasil dari kajian tersebut. Selain itu, beberapa rizab hidupan liar telah diwujudkan di negeri Perak, pada tahun 1903 dan King George V National Park di negeri Pahang atau Taman Negara yang diwujudkan pada tahun 1938. Walaupun telah wujud Ordinan dan Enakmen Perlindungan Hidupan Liar tetapi ianya tidak seragam dan tidak lengkap kerana setiap negeri mempunyai pelbagai peraturan yang berbeza. Pada hari ini dalam tahun 1955, Ordinan Perlindungan Hidupan Liar dan bagi seluruh Persekutuan Tanah Melayu diluluskan. Ordinan itu digubal untuk mengadakan peruntukan menyeluruh dan sempurna bagi memberi perlindungan kepada hidupan liar dan burung-burung agar tidak pupus.


AKTA PERLINDUNGAN HIDUPAN LIAR NO. 76 DI WARTAKAN

Pada 4.5.1972, Akta Perlindungan Hidupan Liar No. 76 telah diwartakan. Semenjak itu nama "Jabatan Mergastua" telah ditukarkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara atau ringkasnya PERHILITAN. Melalui akta itu, perlindungan terhadap hidupan liar di negara ini telah menempuh satu lagi era baru di mana Hidupan liar mula diberi perhatian yang sewajarnya.

Akta itu merangkumi 106 seksyen yang berkaitan dengan perkara-perkara seperti perlantikan pegawai, kuasa-kuasa mengeledah, menangkap dan menyiasat, pengeluaran lesen-lesen tertentu, penubuhan rezab dan santari Hidupan Liar, kesalahan serta penalti dan sebagainya.

Sesungguhnya pindaan terakhir yang dibuat pada tahun 1988 diharap dapat memperkenalkan dan memperakukan lagi peruntukan-peruntukan di bawah akta tersebut bagi memenuhi kehendak dan keperluan semasa, supaya hidupan liar di negara ini terus diberi perlindungan dengan lebih berkesan.


PEMBUKAAN RASMI IBU PEJABAT PERHILITAN DI JALAN CHERAS, KUALALUMPUR

Pada tahun 1987, Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar, Datuk Amar Stephen K.T. Yong telah merasmikan bangunan baru Ibu Pejabat PERHILITAN di Kilometer 10, Jalan Cheras, Kuala Lumpur. Jabatan Mergastua yang kini dikenali sebagai Jabatan PERHILITAN telah wujud pada tahun 1937. Pada tahun 1978, nama jabatan menjadi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara

(PERHILITAN). Jabatan ini secara umumnya mempunyai objektif seperti yang berikut:

i. Untuk mengurus dan menentukan semua jenis hidupan liar terus wujud demi mengekalkan nilai-nilai ekologi dan

ii. Memberi faedah kepada manusia dari segi ekonomi dan penyelidikan. Jabatan PERHILITAN juga memainkan peranan yang penting dalam kegiatan perdagangan hidupan liar bagi mengawal populasi hidupan liar daripada dieksploitasikan melalui perdagangan dan di samping itu bagi menambahkan hasil negara.

Perasmian Bangunan Baru Ibu Pejabat PERHILITAN di Jalan Cheras adalah hari yang bersejarah kepada Jabatan PERHILITAN yang dahulunya menduduki bangunan lama dan hampir roboh di Jalan Duta.