Karier Jair_da_Rosa_Pinto

Kelab

Jair memulakan kariernya bersama kelab Madureira di mana pada ketika itu beliau bermain di posisi sayap kiri. Permainannya yang lincah serta kebolehan untuk melakukan sepakan deras ke arah pintu gol membuatkan beliau semakin dikenali ramai. Pada tahun 1943, Jair berpindah ke kelab Vasco da Gama. Beliau membantu kelab Vasco dan berjaya mendapat tempat kedua dalam Liga Brazil pada tahun 1944.

Pada tahun 1947 sebelum Liga Brazil bermula, beliau berpindah ke kelab Flamengo. Pada musim 1947, beliau tidak berjaya membantu kelab Flamengo memenangi liga sebaliknya kelab lama beliau iaitu Vasco memenangi liga[2].

Pada tahun 1949, beliau menyertai kelab Palmeiras sehingga tahun 1955. Pada tahun 1955, kelab Palmeiras hanya memerlukan seri dengan kelab pesaingnya São Paulo untuk memenangi liga. Pada ketika kelabnya berketinggalan 1-0, Jair menjaringkan 1 gol sekaligus membantu kelabnya memenangi liga[2]. Perpindahannya ke kelab Santos pada tahun 1956 memberikan beliau banyak kejayaan bersama kelab bola sepak di mana kelabnya memenangi liga dengan jurang 7 mata pada musim pertama Jair bersama kelab Santos. Semasa beliau bersama Santos, kelabnya tidak pernah berada di luar kedua teratas liga, memenangi liga pada tahun 1958 dan 1960 yang pada ketika itu beliau bermain bersama Pelé pada usia mudanya[2].

Beliau meninggalkan kelab Santos pada tahun 1960, pada ketika itu beliau sudah berumur 40 tahun. Beliau berpindah ke kelab São Paulo selama 1 musim sebelum berpindah kelab Ponte Preta pada musim berikutnya. Beliau bersara pada umur 42 tahun.


Negara

Dua tahun selepas beliau memulakan kariernya, beliau telah dipanggil untuk mewakili pasukan Brazil dalam perlawanan persahabatan menentang Argentina pada Mac 1940. Dalam perlawanan tersebut, Jair menjaringkan gol tunggal untuk pasukan Brazil, di mana pasukan Argentina menewaskan pasukan Brazil dengan jaringan 6-1.

Walaupun pasukan Brazil kalah dalam penampilan pertama Jair, beliau merupakan antara pemain yang selalu dipanggil untuk mewakili Brazil dalam mana-mana perlawanan antarabangsa. Jaringan hat-trick beliau yang pertama adalah ketika menewaskan pasukan Uruguay dalam perlawanan persahabatan di São Paulo. Beliau juga membantu pasukan Brazil untuk menang kejohanan Copa America 1949, di mana beliau menjaringkan dua gol dalam perlawanan kedua di antara pasukan Brazil dan Paraguay yang berkesudahan Brazil menang dengan jaringan 7-0.

Pada tahun 1950, beliau mewakili pasukan Brazil dalam Piala Dunia. Bersama-sama dengan Zizinho dan Ademir, beliau bergabung untuk membentuk satu kumpulan yang mempunyai serangan yang paling berkesan serta percubaan ke arah pintu gol yang paling banyak sekali. Namun begitu, pasukan Brazil tewas kepada pasukan Uruguay dalam perlawanan akhir yang berkesudahan Uruguay menang dengan jaringan 2-1[3].

Akhir hayat

Beliau meninggal dunia pada umur 84 tahun akibat jangkitan paru-paru[3].