Kerjaya James_Wong

Datuk James memulakan kerjaya bola sepaknya bersama Sabah FA. Beliau merupakan antara penyerang terbaik yang pernah dilahirkan pasukan negeri dibawah bayu itu selain Hassan Sani. Kelincahannya beraksi dalam kancah Liga Malaysia mendatangkan gerun kepada pasukan lawan. Tambahan pula keserasiannya bersama Hassan Sani yang juga penyerang kebangsaan menghasilkan banyak kejayaan hinggakan gandingan Hassan-James dikenal sebagai penyerang kembar yang disegani ketika itu selepas era Dato' Mokhtar Dahari dan Isa Bakar.

Pada tahun 1979, Datuk James membantu Sabah untuk menjadi naib juara Liga Malaysia 1979 dan paling menarik Sabah menjadi pasukan yang paling banyak menjaringkan gol dalam Liga Malaysia ketika itu dengan 49 gol.[5]

Datuk James juga pernah mewakili Malaysia dalam peringkat antarabangsa seperti kejohanan Pesta Bola Merdeka, Piala Presiden di Korea Selatan, Sukan Asia 1974 dan Sukan SEA. Pada kelayakan Sukan Olimpik 1980, James menjaringkan gol kemenangan Malaysia untuk mengatasi Korea Selatan 2-1 sekaligus membawa Malaysia layak ke Sukan Olimpik 1980. Namun, hasratnya beraksi di Sukan Olimpik tidak kesampaian gara-gara tindakan kerajaan Malaysia yang membantah tindakan Soviet Union menceroboh Afghanistan.[6]

Datuk James kini bersara sepenuhnya dari bola sepak dan menjalankan perniagaan sendiri di Sabah. Kedua-dua anak lelaki Datuk James, Ian dan Duncan kini mengikuti jejak langkahnya sebagai pemain bola sepak dan kedua-duanya pernah mewakili Sabah dalam Sukan Malaysia dan Piala Presiden Malaysia.