Jasad_Golgi

Jasad Golgi (disebut [ˈgoʊldʒiː] atau [gol-ji]), badan Golgi atau perkakas Golgi (Golgi apparatus) ialah sejenis organel yang dijumpai pada kebanyakan sel eukariot.[1] Organel ini dikenal pasti buat pertama kalinya oleh Camillo Golgi, seorang saintis Itali pada tahun 1897, dan jasad ini diberi nama beliau sempena penemuan ini setahun kemudiannya pada 1898.[2]Perkakas Golgi membungkus protein ke dalam vesikel yang terikat pada membran dalam sel sebelum vesikel-vesikel ini bergerak ke tempat tujuan mereka di luar sel. Jasad ini terletak di persimpangan laluan-laluan perembesan, lisosom serta endosit dalanm sesebuah sel. Ia mempunyai peranan yang agak penting dalam pemprosesan protein untuk dirembes dengan adanya set enzim pengglikosilan yang mengikat pelbagai jenis monomer gula pada protein-protein yang bergerak melalui perkakas ini.