Latarbelakang KLIA_Ekspres

Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) adalah sebuah syarikat swasta milik bersama YTL Corporation Berhad, Lembaga Tabung Haji dan Trisilco Equity Sdn Bhd dengan masing-masing mempunyai nilai pegangan saham sebanyak 50%, 40% dan 10%. Pada 25 Ogos 1997, kerajaan Malaysia telah menyerahkan konsesi 30 tahun kepada syarikat tersebut untuk membiayai, membina, mengendali dan mengawal selia sistem dan perkhidmatan rel penghubung Kuala Lumpur-Lapangan Terbang Antarabangsa KL.

Kerja-kerja pembinaan pula bermula pada bulan Mei 1997 dan siap lima tahun kemudian. Ia diserahkan kepada konsortium SYZ, sebuah konsortium usahasama diantara syarikat Jerman dan Malaysia iaitu Siemens AG, Siemens Electric Engineering Sdn Bhd dan Syarikat Pembinaan Yeoh Tiong Lay Sdn Bhd. ERL Maintenance Support Sdn Bhd ditubuhkan pada tahun 1999 bertanggungjawab terhadap operasi dan selenggaraan tren milik syarikat induk berkenaan. Ia pada mulanya adalah sebuah syarikat usahasama diantara Express Rail Link Sdn Bhd dan Siemens AG tetapi kini dimiliki sepenuhnya oleh Express Rail Link Sdn Bhd.

Krisis kewangan yang melanda rantau Asia pada tahun 1997 menyebabkan projek tersebut tergendala seketika. Walau bagaimanapun, atas sokongan padu kerajaan Malaysia projek rel penghubung Kuala Lumpur-Lapangan Terbang Antarabangsa KL diteruskan. Nilai keseluruhan projek tersebut menelan belanja sebanyak RM2.4 bilion yang dibiayai melalui pengabungan ekuiti (RM500 juta), pinjaman kewangan sebanyak RM940 juta daripada Bank Pembangunan Dan Infrastruktur Malaysia Berhad (Bank Pembangunan) dan baki selebihnya melalui kemudahan eksport kredit daripada empat institusi kewangan Jerman. Express Rail Link Sdn Bhd mencapai keuntungan pada tahun 2003 setelah hanya satu tahun beroperasi.

KLIA Ekspres

Perkhidmatan KLIA Ekspres beroperasi secara rasmi pada 14 April 2002 menghubungkan bandar raya Kuala Lumpur dengan Lapangan Terbang Antarabangsa KL tanpa henti. Tempoh perjalanannya cepat dan singkat menjadikan ia pengangkutan awam pilihan penumpang dari dan ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL. Kumpulan penumpang sasaran KLIA Ekspres ialah penumpang-penumpang syarikat penerbangan, para pelancong dan ahli-ahli perniagaan.