Sejarah Kadet_bomba

Penubuhan Kadet Bomba bermula apabila Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berhasrat untuk memberi pendedahan dan mendidik para pelajar tentang bagaimana untuk menghadapi kebakaran dan kecemasan pada masa hadapan. Selain itu, jabatan juga berhasrat untuk membentuk dan melahirkan pelajar-pelajar yang lebih berdisiplin, menepati masa, proaktif dan bersemangat patriotisme. Pasukan ini mula ditubuh secara rasminya pada tahun 1984 setelah mendapat persetujuan daripada Kementerian Pelajaran Malaysia dan dijadikan salah satu program kokurikulum bagi sekolah-sekolah menengah di Malaysia.

Motto Kadet Bomba ialah ‘Mencegah Untuk Menyelamat’ yang selaras dengan tujuan penubuhannya. Pelajar diberi latihan dan didikan kaedah menyelamat bukan sahaja ketika menghadapi kebakaran tetapi juga ketika menghadapi kecemasan yang lain. Berfalsafahkan tujuan untuk membina insan yang mempunyai sahsiah yang seimbang dari segi intelek, emosi, rohani dan fizikal, pasukan ini ternyata menarik minat ramai pelajar menyertainya. Matlamat utama penubuhan Kadet Bomba ialah untuk membentuk pelajar yang peka terhadap isu-isu semasa, keselamatan dan kemanusiaan.

Sekolah pertama yang menganggotai pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia ialah Maktab Rendah Sains MARA Sultan Abdul Samad, Negeri Sembilan dan Maktab Rendah Sains MARA Kuantan, Pahang pada tahun 1984 dengan jumlah keanggotaan seramai 40 orang. Jumlah sekolah dan keanggotaan yang menyertai Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia semakin bertambah sehingga tahun 2005 iaitu sebanyak 819 pasukan ditubuhkan dengan kekuatan anggota seramai 49,122 orang. Oleh itu, dengan menyertai Kadet Bomba, para pelajar akan dapat menimba pengetahuan asas dalam bidang teori dan praktikal bantuan kebombaan, berkongsi kesefahaman dan meningkatkan kemahiran dalam menjalankan tugas dan memberi kesedaran kepada sekolah dan masyarakat secara umumnya tentang bahaya kebakaran dan kecuaian manusia.