Asal Kapitalisme

Kapitalisme Islam

Asas asal kapitalisme dan pasaran bebas boleh dijejak kembali pada Zaman Keemasan Islam dan Revolusi Pertanian Islam,[3] di mana ekonomi pasaran pertama dan bentuk awal kapitalisme perdagangan mula berakar di antara kurun ke-8 dan ke-12. Sesetengah sarjana merujuknya kepada “Kapitalisme Islam”.[4] Orang Islam telah mewujudkan satu sistem ekonomi monetari dengan mengembangkan sistem pengedaran mata wang bernilai tinggi yang stabil (seperti dinar) dan menyepadukan bidang monetari yang dulunya bebas. Sementara itu teknik baru perniagaan dan bentuk organisasi yang inovatif diperkenalkan oleh pakar ekonomi, pedagang dan peniaga pada masa itu. Di antara inovasi ini termasuk syarikat dagang, perniagaan yang besar, kontrak, pertukaran bil, perdagangan antarabangsa jarak jauh, perkongsian (mufawada) seperti mudharabah, dan bentuk awal hutang kredit, keuntungan, kerugian, modal (al-mal), pengumpulan modal, amanah (wakaf), syarikat permulaan, akaun simpanan, pajakan, juru bank, penukar mata wang, lejer,[5] dan saman[6]. Konsep perusahaan yang sama seperti syarikat yang bebas daripada campurtangan negara juga telah wujud pada zaman pertengahan Islam, sementara institusi agensi juga ditubuhkan. Banyak daripada konsep awal kapitalis ini diambil pakai dan dibangunkan oleh Eropah dari kurun ke-13 dan seterusnya.

Sistem kontrak yang bergantung kepada pedagang juga sangat berkesan. Pedagang akan membeli dan menjual atas komisyen, dengan wang yang dipinjamkan kepada mereka oleh pelabur kaya, atau pelaburan bersama beberapa pedagang, yang selalunya mereka terdiri daripada orang Islam, Kristian dan Yahudi. Perkongsian perniagaan akan dibuat untuk banyak penerokaan komersil, dan pertalian yang erat membolehkan rangkaian dagangan terbentuk dalam jarak yang luas. Rangkaian yang terbina pada masa ini membolehkan sebuah dunia di mana wang dijanjikan oleh sebuah bank di Baghdad dan ditunaikan di Sepanyol, yang membawa kepada sistem cek seperti pada hari ini. Setiap kali barangan melepasi bandar-bandar dalam rangkaian luar biasa ini, bandar akan mengenakan cukai, menyebabkan harga tinggi apabila mencapai destinasi terakhir. Inovasi yang dibuat oleh orang Islam dan Yahudi membentuk asas kepada sistem ekonomi.

Di Eropah

Kapitalisme sebagai sistem ekonomi yang difahami bermula di Eropah pada kurun ke-13, menjelang akhir zaman feudal. Manusia itu, kata Adam Smith, sentiasa ada kecenderungan untuk "mengangkut dan menukar barang kepada barang lain." Kecenderungan kepada perdagangan dan pertukaran ini digalakkan oleh beberapa siri Perang Salib dari kurun ke-11 hingga ke-13. Penerokaan bangsa Eropah pada kurun ke-15 dan ke-16 menguatkan dorongan kepada perniagaan dan perdagangan, terutama berikutan kebanjiran logam berharga yang masuk ke Eropah selepas penerokaan dan penawanan Dunia Baru. Aturan ekonomi yang muncul dari peristiwa-peristiwa ini pada dasarnya bersifat komersil iaitu tumpuan lebih kepada pertukaran barangan daripada pengeluaran. Penekanan kepada pengeluaran tidak berlaku hingga kebangkitan perindustrian pada kurun ke-19.

Sebelum masa itu, akan tetapi, satu unsur penting dalam sistem kapitalis muncul: usahawan atau pengambil risiko. Unsur penting dalam kapitalisme adalah menjalankan aktiviti dengan jangkaan yang ia akan menghasilkan keuntungan pada masa depan. Kerana masa depan tidak diketahui, kedua-dua risiko kerugian dan keuntungan wujud. Jangkaan risiko ini adalah salah satu peranan khusus yang dimainkan oleh seorang usahawan.

Gerakan ke arah kapitalisme dari kurun ke-13 dan seterusnya dikuatkan lagi oleh Renaisans dan Reformasi. Perkembangan besar ini mengubah masyarakat dan membuka jalan kepada kemunculan negara-bangsa moden, yang kemudian membawa kepada keamanan, peraturan, dan undang-undang yang penting bagi pertumbuhan kapitalisme. Pertumbuhan ini dicapai melalui pengumpulan lebihan ekonomi oleh usahawan dan pelaburan semula lebihan ini ke dalam sistem untuk pengembangan. Tanpa keamanan, stabiliti dan kesinambungan, proses ini tidak boleh berlaku.

Merkantilisme

Rencana utama: Merkantilisme

Dari kurun ke-15 hingga ke-18, dengan kelahiran negara-bangsa, kapitalisme yang berkembang bukan hanya berbaur komersil tetapi ke arah merkantilisme. Bentuk ini mencapai tahap tertinggi di England.

Sistem merkantilis lebih kepada harta persendirian dan penggunaan pasaran untuk aktiviti ekonomi mudah. Tumpuan utama merkantilisme adalah kepentingan negara dan bukan individu pemilik sumber ekonomi. Pada era merkantilis, tujuan utama dasar ekonomi adalah menguatkan negara dan agendanya. Untuk itu, kerajaan mengawal kuat aktiviti pengeluaran, pertukaran dan penggunaan barang.

Ciri paling menonjol merkantilisme adalah kesibukan negara mengumpul kekayaan dalam bentuk emas dan perak. Kerana kebanyakan negara tidak mempunyai sumber asli yang banyak bagi logam berharga ini, cara terbaik mendapatkannya adalah melalui perdagangan. Ini bermakna berusaha ke arah imbangan perdagangan yang menguntungkan iaitu lebih ekport daripada import. Negara luar akan membayar import dalam bentuk emas dan perak. Negara merkantalis juga lebih gemar mengekalkan upah rendah kerana percaya ini akan tidak menggalakkan import dan menyumbang kepada lebihan eksport. Seterusnya menambahkan lagi emas yang masuk ke dalam kantung negara.

Akan tetapi, kekayaan sebenar sesebuah negara tidak bergantung kepada banyaknya emas dan perak, tetapi kemampuannya dalam pengeluaran. Emas dan perak yang banyak diperoleh dari imbangan perdagangan akan menjadi perangsang kepada aktiviti ekonomi secara umum, membolehkan negara mengenakan lebih cukai dan mendapat lebih perolehan. Tetapi hanya beberapa negara yang mengamalkan merkantilisme memahami prinsip ini.