Keluaran Karisma_(album_Search)

Karisma dikeluarkan dalam bentuk kaset dan cakera padat (CD) pada awal November 1990. Bentuk piring hitam juga dihasilkan tetapi hanya diedarkan kepada stesen-stesen radio. Cetakan CD pertama adalah tidak serupa dengan cetakan yang kemudiannya di mana kulit album ini mempunyai kesan timbul pada tulisan "KARISMA". Dalam cetakan yang seterusnya, kesan timbul tersebut tidak digunakan. Selain itu, CD cetakan pertama adalah berwarna perak manakala CD cetakan kemudiannya pula adalah berwarna hitam.

Untuk mempromosikan album ini, syarikat Go-Search telah menaja seramai 12 orang pelajar politeknik yang terletak di Jitra, Kedah untuk membuat satu ekspedisi mengelilingi Semenanjung Malaysia yang bermula di City Point, Alor Setar, Kedah. Ekspedisi yang dilancarkan oleh Amy Search dan pengurus syarikat Go-Search, Aziz Bakar ini bermula pada 8 November 1990 dan juga dibuat untuk menyedarkan masyarakat tentang masalah penyalahgunaan dadah serta cetak rompak yang berleluasa pada ketika itu. Di dalam ekspedisi ini, sebanyak 1,000 salinan telah diedarkan kepada mereka yang diketuai oleh Abdul Halim Abdul Karim untuk dijual sepanjang ekspedisi tersebut. Sebanyak RM1,500 telah dibelanjakan oleh Go-Search untuk menjayakan ekspedisi ini.[2]