Sarawak Kebangkitan_Semula_Pengganas_Komunis_(1968-1989)

Di Sarawak, ancaman Parti Komunis Kalimantan Utara ditangani oleh Markas Divisyen Pertama Infantri. Operasi-operasi besar sepertimana yang dijalankan oleh 2 Divisyen di Semenanjung Malaysia juga dilancarkan di kawasan operasi Sarawak.

Ancaman paling nyata dirasai di dalam kawan operasi Sungai Rejang. Keadaan keselamatan di Rejang mendorong Markas 1 Divisyen menubuhkan Markas Khas dipanggil Markas Keselamatan Kawasan Rejang (Rejang Area Security Command) ataupun RASCOM. 1 Divisyen membuat serangan balas dengan meningkatkan skop operasi cari dan musnah menentang Parti Komunis Kalimantan Utara.

Serang hendap Di Lundu

Parti Komunis Kalimantan Utara mencapai beberapa kejayaan. Parti Komunis Kalimantan Utara berjaya membunuh 15 orang anggota Bn 7 Rejimen Renjer dalam satu serang hendap di Lundu pada 26 Mac 1972.

Serangan ini dibuat oleh segerombolan 30 hingga 40 orang pengganas ke atas konvoi terdiri dari 1 buah Land Rover dan 3 buah lori 3 ton mengandungi askar jurutera yang dipinjamkan ke Bn 7 Rejimen Renjer dan askar-askar dari kompeni bantuan. Land Rover dan lori Bedford membawa askar jurutera tidak diserang dan dibiarkan melepasi kawasan serang hendap. Apabila lori ketiga masuk ke dalam kawasan pembunuhan, kumpulan pengganas melepaskan tembakan.

Askar Jurutera yang terlepas dari serang hendap tidak berhenti untuk melawan kerana bilangan mereka kecil (1 Seksyen). Mereka memecut ke Titi Akar dan meminta bantuan daripada pasukan dari 1 Rejimen Askar Peninjau. Koperal Jamaluddin tanpa berlengah memecut kereta perisai Ferret ke tempat serang hendap dengan diikuti lain-lain askar bantuan. Apabila sampai ke kawasan serang hendap, Koperal Jamaluddin melepaskan tembakan mesingannya. Melihat ketibaan kereta perisai Ferret itu, kumpulan pengganas berundur.

Bn 7 Rejimen Renjer bertindak balas dengan melancarkan operasi cari dan musnah secara besar-besaran. Dalam operasi-operasi susulan, ramai daripada pengganas terlibat dibunuh dan senjata dirampas.

Kesan Operasi Ketenteraan

Akibat tekanan ketenteraan yang semakin meningkat, unit-unit penggempur komunis tidak dapat bertapak dengan berkesan di Semenanjung Malaysia ataupun di Sarawak. Akhirnya, ramai daripada mereka mengambil tindakan untuk menyerah diri kepada pihak berkuasa.