Sejarah Kemasik

Menurut cerita warga tua di Kemasik, sebelum membangun seperti sekarang Kemasik hanyalah sebuah perkampungan nelayan tradisional, dari mana wujudnya nama Kemasik tidak pula diketahui. Walau bagaimanapun, Kampung Kemasik telah wujud sebelum merdeka lagi. Walaupun kampung ini telah berusia lebih 50 tahun, namun ia masih lagi mengekalkan ciri-ciri dan budaya timur masyarakat Melayu. Kampung ini merupakan kawasan pekan lama sebelum Daerah Dungun dan Kertih pesat membangun dan kampung ini masih popular sehingga kini. Kewujudan mahkamah dan pejabat kastam di dalam kampung ini menunjukkan bahawa kampung ini pernah menjadi pusat pentadbiran suatu ketika dahulu.

Jika datang ke kampung ini, gemersik angin laut yang mendayu-dayu pastinya membuatkan anda terleka sebentar. Walaupun pernah menjadi antara ‘kawasan hitam’ ketika zaman penjajahan Jepun namun kini semuanya telah banyak berubah. Pembangunan yang amat ketara dapat dilihat di sini dan penduduk juga semakin seronok mengecapi kemajuan dalam hidup dan peningkatan taraf hidup. Aspirasi penduduk ialah untuk menjadikan kampung ini sebagai salah satu perkampungan nelayan yang terbaik di negeri persisiran pantai ini.