Sejarah Kementerian_Industri_Utama_Malaysia

Sebagai mengiktiraf sumbangan industri komoditi kepada pertumbuhan ekonomi negara, Kerajaan telah menubuhkan Kementerian Perusahaan Utama (KPU) pada tahun 1972. Di peringkat awal penubuhan, KPU hanya bertanggungjawab ke atas pembangunan bijih timah dan getah, dua komoditi utama negara pada ketika itu. Peranan KPU kemudiannya telah diperluas untuk merangkumi pembangunan komoditi-komoditi lain seperti minyak sawit, koko, perhutanan, galian, nanas dan tembakau yang juga menyumbang kepada ekonomi negara.

Pada tahun 2004, KPU telah dijenamakan semula sebagai Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC). Di bawah struktur baru ini, Lembaga Pemasaran Lada Hitam, yang sebelum ini di bawah bidang kuasa Kementerian Pertanian telah dimasukkan ke dalam MPIC manakala perkara-perkara yangberkaitan dengan perhutanan, mineral dan geosains telah dipindahkan ke Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Tanggungjawab-tanggungjawab utama MPIC yang lain, masih kekal dan tidak berubah.

Selain komoditi perladangan seperti kelapa sawit, kayu, getah dan koko, MPIC juga meneroka pembangunan sumber pertumbuhan baru, termasuk kenaf, sago dan pokok jarak (jatropha) yang mempunyai potensi dalam menyumbang kepada ekonomi negara. Untuk meningkatkan lagi pembangunan industri perladangan komoditi, MPIC telah menggubal Dasar Komoditi Negara (2011 - 2020). Dasar yang disasarkan untuk mengubah industri komoditi supaya lebih dinamik dan berdaya saing melalui pengeluaran komoditi berasaskan produk yang bernilai tambah tinggi.

Sektor perladangan dan komoditi

Sektor perladangan dan komoditi, iaitu kelapa sawit, getah, kayu kayan, koko, lada hitam dan tembakau telah memberikan sumbangan yang amat besar kepada pembangunan ekonomi negara sejak 54 tahun yang lalu. Sejak dari itu, sektor ini menjadi sektor penyumbang di dalam pendapatan nilai eksport Malaysia. Pada tahun 2011, nilai eksport sektor komoditi dan produk berasaskan komoditi adalah sebanyak RM 141.2 bilion iaitu 20.33% dari jumlah sumbangan keseluruhan eksport negara. Harga komoditi sepanjang tahun 2011 telah banyak memberi faedah kepada negara, terutamanya kepada pekebun-pekebun kecil. Masa hadapan sektor perladangan dan komoditi dijangka akan terus kekal cerah serta menjanjikan banyak peluang yang menguntungkan.