Implementasi Kepala_silinder

Bilangan kepala silinder pada enjin adalah fungsi bagi konfigurasi enjin. Hampir kesemua enjin sebaris hari ini ada satu sahaja kepala silinder untuk semua silinder. Enjin V mempunyai dua kepala silinder, satu bagi setiap baris silinder bagi 'V' tersebut. Enjin rata (secara asasnya merupakan enjin V dengan sudut 180°) juga mempunyai dua kepala silinder. Kebanyakan enjin jejari mempunyai satu kepala bagi setiap silinder, walaupun ia biasanya dalam bentuk monoblok di mana kepala dibina sebagai sebahagian daripada silinder.

Sesetengah enjin, terutamanya enjin diesel berkapasiti sederhana dan berat bagi industri, perkapalan, penjanaan kuasa, serta tujuan tarikan berat (lori besar, lokomotif, jentera berat dsb.) mempunyai kepala silinder berasingan bagi setiap silinder. Ia mengurangkan kos baik pulih sekiranya satu bahagian kepala gagal berfungsi berbanding satu kepala bagi kesemua silinder. Rekaan tersebut membolehkan pengeluar menghasilkan satu 'keluarga' enjin dengan bentangan serta bilangan silinder berbeza tanpa perlu mereka semula kepala silinder.

Rekaan kepala silinder merupakan kunci utama kepada prestasi dan kecekapan enjin pembakaran dalaman, memandangkan bentuk kebuk pembakaran serta liang masukan dan ekzos menentukan kecekapan volumetrik dan nisbah mampatan enjin.