Penerangan Keriat

Aglaia korthalsii ialah pokok yang lebih 26 m (85 ka) tinggi. Daunnya majmuk dan mengandungi anak daun sepanjang 8–27 cm (3.1–10.6 in) dan selebar 3–8 cm (1.2–3.1 in), dengan pangkal daun tidak sama. Tangkainya 7–12 cm (2.8–4.7 in) panjang dan dilitupi sisik perang kemerahan yang berkilat. Sisik tersebut turut dijumpai pada ketiak dan ranting. Aglaia korthalsii menyamai A. speciosa, namun berlainan pada lima anak daunnya yang lebih besar, rerambutnya yang dikit dan tampilan buahnya. A. korthalsii dan A. elliptica pun berkongsi banyak persamaan, namun berlainan lantaran A. korthalsii ada sisik pepayung, sedangkan A. elliptica pula sisiknya bebintang.[5] 

Perbungaannya ditemukan di ketiak dan dahan tua. Perbunyaan jantan lebih panjang dan lebat berbanding yang betina. Bunganya yang sekitar 1.5–2 mm (0.059–0.079 in) panjang dan 1.6–2.5 mm (0.063–0.098 in) lebar mengandungi lima ranggi; salut bercuping limanya turut terlitup sisik menyamai rantingnya. Perbuahannya yang lebih 17 cm (6.7 in) panjang dan 14 cm (5.5 in) lebar pula mengandungi 15 biji buah. Setiap Buahnya hampir bulat, 2–4 cm (0.79–1.57 in) panjang dan 1–3.5 cm (0.39–1.38 in) lebar, dan dilitupi sisik perang jingga yang ada birai berpinggir. Buah matang akan bekah di sepanjang pinggir kulit buah ini apabila tekanan dalaman dikenakan.[5]

Buahnya ada satu hingga dua benih bujur, 1.5–2 cm (0.59–0.79 in) panjang dan 1–1.5 cm (0.39–0.59 in) lebar, dan dilitupi nabu jingga kekuningan yang tebal.[5] Nabu yang berjus atau lembik macam agar-agarnya terasa manis pahit, dan boleh dimakan.[6] Orang utan dan ungka tangan putih gemar memakan buah spesies ini.[7]