Kertanegara yang memerintah antara
1268 dan
1292 di bahagian timur
Pulau Jawa ialah raja terakhir dan raja terpenting kerajaan
Singhasari. Di bawah pemerintahannya, perdagangan pulau itu berkembang maju dengan begitu pesat dan menjangkau seluruh pelosok
kepulauan Indonesia serta negara-negara yang lebih jauh seperti
China yang ketika itu dikuasai oleh
Kublai Khan.Kertanegara berjaya menjadikan
Bali yang berhampiran sebagai
vasalnya pada
1284. Apabila cucu
Genghis Khan mengutus dutanya menuntut
ufti daripada Kertanegara, baginda berasa panas hati dan menghantar utusan itu kembali ke China tanpa satu telinga. Pada
1290, Kertanegara menyerang dan menaklukkan kerajaan
Jambi Melayu di
Sumatera selatan, salah satu tatanegara Indonesia yang terawal mengikat hubungan dengan
Dinasti Yuan di China. Oleh itu, Kublai Khan memerintah sebuah ekspedisi tentera laut dilancarkan terhadap pulau-pulau
khatulistiwa yang terpencil. Sementara itu, Kertanegara telah berjaya menaklukkan seluruh Pulau Jawa, akan tetapi sebelum kapal angkatan tentera Mongol tiba,
Jayakatwang, menantu Kertanegara serta putera dari
Kediri, salah satu vasal Singhari yang paling kuat, memberontak dan membunuh baginda semasa perayaan keagamaan.