Kerubut_Emas_Klondike
Kerubut_Emas_Klondike

Kerubut_Emas_Klondike

Kerubut Emas Klondike yang juga dikenali Kerubut Emas Yukon, Kerubut Emas Alaska, Kerubut Emas Alaska-Yukon, dan Kerubut Emas Besar Terakhir merupakan migrasi para pencari emas seramai 100,000 orang ke Klondike, Yukon, barat laut Kanada pada tahun 1896 sehingga 1899. Emas ditemui di sini pada 16 Ogos 1896. Apabila berita penemuan tersebut sampai ke bandar Seattle dan San Francisco pada tahun berikutnya, berita tersebut mencetuskan migrasi beramai-ramai dalam kalangan para pencari emas. Namun, perjalanan untuk sampai ke Klondike sungguh payah. Dalam penghijrahan tersebut, hanya 30,000-40,000 sampai ke sana. Ada yang menjadi kaya, ada yang jatuh miskin dan hanya 4,000 pencari emas yang menemui emas. Kerubut emas ini berakhir apabila emas ditemui di kawasan baru bernama Nome yang mencetuskan Kerubut Emas Nome, dimana mencetuskan perpindahan beramai-ramai ke sana. Peristiwa ini diabadikan dalam gambar, filem dan buku.Para pencari emas mula melombong emas di Yukon bermula pada 1880-an. Apabila emas mula ditemui di Sungai Klondike pada 1896, keghairahan dalam kalangan penduduk tempatan amat dirasai. Walau bagaimanapun, disebabkan Klondike merupakan kawasan yang sungguh terpencil serta mempunyai cuaca sejuk yang sungguh ekstrem, berita penemuan tersebut hanya tersebar setahun kemudian. Penghijrahan beramai-ramai mula berlaku selepas kapal membawa emas dari Klondike tiba di pelabuhan-pelabuhan di barat laut Amerika Syarikat pada Julai 1897, memulakan klimaks kerubut emas ini. Ditambah pula dengan laporan akhbar tentang penemuan emas tersebut, kerubut emas ini menjadi kegilaan seluruh negara. Disebabkan itu, ramai yang berhenti kerja dan pergi ke Klondike sebagai pencari emas. Fenomena ini dimanfaatkan oleh peniaga, jurugambar, penulis dan sebagainya untuk mencari pendapatan.Untuk sampai ke kawasan kerubut emas, para pencari emas harus melalui Pelabuhan Dyea dan Skagway yang terletak di tenggara Alaska. Selepas itu, mereka perlu melalui Genting Chilkoot atau Genting White untuk sampai ke Sungai Yukon dan kemudian mudik ke Klondike. Setiap orang harus membawa bekalan makanan cukup untuk setahun untuk mengelakkan kebuluran;ini menyebabkan berat peralatan ketika perjalanan mencapai 1 tan yang harus dikandar oleh mereka sendiri. Mereka juga harus tabah dengan cuaca sejuk yang ekstrem dan bentuk muka bumi yang bergunung-ganang untuk sampai pada musim panas 1898. Apabila sampai, mereka mendapati hasil emas tidak seberapa dan ramai yang berasa kecewa.Melombong emas di situ sungguh sukar kerana pencarian bijih emas tersebut mampu mengelirukan para pencari emas walaupun pencari tersebut berpengalaman. Memburukkan lagi keadaan melombong adalah tanah ibun abadi yang menyukarkan kerja mengorek tanah. Keadaan tersebut menyebabkan pelombong mewujudkan pasaran jual beli, di mana mereka melabur dalam perusahaan melombong dan mengupah orang untuk melombong. Bandar baru mula wujud untuk menampung keperluan perumahan para pencari emas. Banyak bandar baru muncul di sepanjang laluan ke sana dan keadaan ini telah mewujudkan bandar Dawson City yang terletak di lembangan Sungai Klondike dan Sungai Yukon. Bandar tersebut asalnya mempunyai 500 penduduk pada 1896, meningkat mendadak sehingga 30, 000 orang pada musim panas 1898 tetapi pertambahan mendadak ini menyebabkan perancangan bandar yang begitu teruk. Dawson City tidak mempunyai sistem pembetungan yang sistematik, kehadiran wabak penyakit, dan kebakaran yang berleluasa. Keadaan ini sedikitpun tidak menjejaskan para pencari emas untuk berjudi dengan jumlah yang besar di pub sekitar bandar. Namun, Puak asli Hän mengalami kesan langsung akibat penghijrahan beramai-ramai, ramai antara mereka yang mati sebelum dipindahkan ke penempatan baru.Pada 1898, akhbar-akhbar yang asalnya begitu kerap menyiarkan kerubut emas ini telah mula hilang minat untuk mengutarakan isu ini. Apabila berita penemuan emas baru di Nome, Alaska Barat tersebar, ini mencetuskan perpindahan para pencari emas dari Klondike. Fenomena ini menandakan pengakhiran kerubut emas ini. Bandar baru wujud serta Dawson City mengalami pengurangan penduduk yang begitu mendadak. Emas terus dilombong sehingga 1903 apabila pengeluaran mencapai kemuncak setelah jentera perlombongan berat dibawa masuk. Secara keseluruhannya, Klondike mengeluarkan emas sebanyak 1,250,000 paun (570,000 kg). [1] Legasi peristiwa ini mewujudkan peluang pelancongan dan Klondike terus hidup dengan hasil tersebut.

Kerubut_Emas_Klondike

Legasi The Call of the Wild, The Gold Rush
Penemuan 16 Ogos, 1896, Bonanza Creek
Laluan
  • Semua laluan air
  • Laluan Dyea/Skagway
  • Denai All Canadian
Tempoh 1896–99 (Beramai-ramai: 1897–98)
Ditemukan George Carmack (off.) dan Skookum Jim
Pencari emas 100,000 dimana 30,000 tiba dan 4,000 menemui emas
Nama lain Kerubut Emas Alaska, Kerubut Emas Yukon
Pusat Dawson City (di kawasan lembangan Sungai Yukon dan Sungai Klondike, Kanada)