Kerjaya Kontik_Kamariah

Kamariah melibatkan diri dalam kegiatan politik dalam perjuangan untuk menentang penjajah British. Beliau kemudian menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Selain itu, Kamariah amat aktif dalam berbagai-bagai pertubuhan koperasi. Pada tahun 1932, Kamariah terlibat dengan Persatuan Kerjasama Jimat dan Pinjaman Kakitangan Kerajaan Selangor, dan menjadi ahli jawatankuasa hingga tahun 1940. Pertubuhan lain yang disertai adalah Kesatuan Kerjasama Midland, Kesatuan Kerjasama Tanah Melayu, Insuran Kerjasama Tanah Melayu. Kamariah juga merupakan Ahli Lembaga Maktab Kerjasama. Antara tahun 1955 hingga 1957, beliau menjadi Pengerusi Persatuan Kerjasama Jimat dan Pinjaman Selangor serta Kesatuan Kerjasama Tanah Melayu dan merupakan wanita pertama memegang jawatan-jawatan tersebut.

Pada tahun 1954, Kamariah menubuhkan Koperasi Perumahan Pegawai-pegawai Melayu Selangor dan menjadi pengerusi Yang Dipertua Syarikat Bangunan Rumah tersebut sehingga 1964 dan sekali lagi pada tahun 1975 hingga awal 1980-an. Syarikat ini telah berjaya membeli sebidang tanah dan telah mendirikan 21 buah rumah dan kawasan perumahan ini diberi nama "Taman Kamariah" sempena nama beliau.

Pada tahun 1977, Kamariah dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Lembaga Rayuan Penapis Filem Negara, dan kemudian pada tahun 1979 menjadi Ahli Jawatankuasa Majlis Daerah Gombak. Selepas suami beliau meninggal dunia beliau telah mengusahakan syarikat pelancongan.