Lokasi Kuala_Balah

Pekan Kuala Balah merupakan sebuah pekan yang terletak dalam daerah Kuala Balah iaitu salah satu daerah kecil dalam jajahan Jeli.Pekan ini terletak kira-kira 32 km dari Pusat Bandar Utama Jajahan Jeli iaitu Bandar Jeli.Ia juga terletak 20 km dari Pekan Dabong Kuala Krai, 145 km dari Pusat Bandar Kota Bharu, 100 km dari Pusat Bandar Kuala Krai melalui Jalan Jeli-Dabong-Sungai Sam-Kuala Krai dan 85 km dari Pusat Bandar Gua Musang melalui Jalan Jeli-Jelawang-Gua Musang.

Ia merupakan pekan yang terletak di tengah-tengah Laluan Persekutuan Malaysia 66 yang menghubungkan Bandar Jeli dan Dabong di daerah Kuala Krai, Kelantan. Jalan Persekutuan 66 adalah sebahagian daripada laluan jalan raya yang menghubungkan laluan Jeli-Gua Musang yang merupakan laluan alternatif dari Gua Musang untuk ke Kota Bharu selain Lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang (Laluan Persekutuan Malaysia 8). Memandangkan Pekan ini kerap menjadi tempat persinggahan pengguna-pengguna yang menggunakan Laluan Persekutuan Malaysia 66 terdapat sebuah kawasan Rawat dan Rehat di kawasan Pekan Kuala Balah disediakan untuk kemudahan pengguna jalanraya.

Pekan Kuala Balah merupakan pusat tumpuan utama selain Pusat Bandar Jeli bagi penduduk dalam kawasan daerah kecil Kuala Balah.Pekan ini menjadi tumpuan kepada penduduk-penduduk dari 6 mukim yang berada dalam daerah kecil Kuala Balah.6 mukim tersebut ialah Mukim Lubok Bongor,Mukim Kubor Datu,Mukim Bukit Selar,Mukim Bukit Jering,Mukim Jerimbong dan Mukim Kuala Balah.

Dianggarkan jumlah penduduk bagi daerah Kuala Balah ialah seramai 13,700 orang penduduk.Majoriti nya penduduk berbangsa Melayu.Secara umumnya,penduduk-penduduk di daerah Kuala Balah tinggal di kampung-kampung yang padat di sepanjangLaluan Persekutuan Malaysia 66 dan juga di pinggir sungai.Memandangkan Pekan Kuala Balah menjadi tumpuan ramai,pelbagai kemudahan sentiasa dinaiktaraf oleh kerajaan mengikut keperluan semasa penduduk.Secara keseluruhannya,keadaan fizikal pekan ini sudah lengkap dengan kemudahan jalan raya yang sempurna, bekalan elektrik dan air yang semakin baik,liputan telefon talian tetap dan selular dan akses internet yang semakin baik.

Daerah Kuala Balah

Daerah Kuala Balah terdiri daripada beberapa mukim.

  1. Mukim Kuala Balah
  2. Mukim Jerimbong
  3. Mukim Bukit Jering
  4. Mukim Bukit Selar
  5. Mukim Kubur Datu
  6. Mukim Lubok Bongor

Berkaitan