Sejarah Lapangan_Terbang_Antarabangsa_Pulau_Pinang

Pada tahun 1935, Lapangan Terbang Pulau Pinang telah dibuka dengan rasminya berikutan pendaratan sebuah kapal terbang dari Syarikat Penerbangan Imperial, 'Arethusa' di lapangan terbang ini. Upacara pendaratan ini telah disaksikan oleh sebahagian besar penduduk-penduduk Pulau Pinang, termasuk Residen Councillor Pulau Pinang.

Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas Pulau Pinang

Lapangan terbang ini adalah berbentuk bulat, panjang garis lintangnya ialah 1,000 ela dan dikelilingi oleh tembok setinggi 4 kaki untuk menghalang banjir disebabkan air pasang. Pendaratan kapal terbang ini telah dilakukan di atas dua landasan, satu daripadanya landasan tar sepanjang 930 ela dan lebar 60 ela, satu lagi landasannya ialah sepanjang 800 ela dan lebarnya 200 ela dibina di atas tanah yang ditanam rumput.

Di samping itu lapangan terbang ini mengandungi beberapa bangunan antaranya sebuah terminal yang dibina di Bangunan Kawalan, sebuah kelab dan dua buah 'Hanger' yang diperbuat daripada besi waja.Dengan pembukaan lapangan terbang ini, ia merupakan satu detik bersejarah dalam perkembangan sistem perhubungan dan pengangkutan di Malaysia. Ia telah memberi perkhidmatan penerbangan tempatan antara Kuala Lumpur, Singapura dan Pulau Pinang, di samping perkhidmatan pendaratan penerbangan di antara Eropah dengan negara-negara Asia Tenggara dan Australia.