Sejarah Lorong

Sepanjang sebahagian besar sejarah manusia, jalan raya tidak perlu ditanda kerana kebanyakan orang berjalan kaki atau menunggang kuda pada kelajuan yang perlahan. Selain itu, penandaan permukaan jalan juga mempunyai kos penyelenggaraan yang mahal.

Semasa kereta, lori dan bas mula digunakan secara meluas sepanjang dua dekad pertama abad ke-20, pelanggaran berdepan semakin kerap berlaku.

Terdapat dua orang yang dinamakan dalam penciptaan penandaan jalan. Pada tahun 1911, Edward N. Hines, pengerusi Suruhanjaya Jalan Raya Wayne County, Michigan cuba menjadikan jalan raya lebih selamat. Dia mendapat idea mengecat garisan tengah bagi mengasingkan lorong-lorong trafik setelah menunggang di belakang sebuah lori susu yang tertumpah ke atas jalan sehingga meninggalkan garisan.

June McCarroll, seorang doktor dari Indio California mula bereksperimen dengan mengecat garisan pada jalan raya pada tahun 1917 setelah dia dilanggar oleh seorang pemandu lori. Pada November 1924, setelah bertahun-tahun dilobi oleh Dr. McCarroll dan sekutunya, California akhirnya menerima secara rasmi dasar mengecat garisan pada jalan raya. Sebahagian jajaran Interstate 10 berhampiran Indio dinamakan sebagai Lebuhraya Memorial Dr. June McCarroll atas jasa-jasanya.

Menjelang 1939, penandaan lorong menjadi begitu popular sehinggakan ia mula diseragamkan di Amerika Syarikat, sebelum sistem tersebut ditiru di seluruh dunia.