Penerbitan Lu_Mafia_Gua_Gangster

Lu Mafia Gua Gangster diterbitkan oleh Red Fires Film Production dan RJ Future Films Sdn Bhd, merupakan filem komedi sulung arahan Krishna Roy dan filem bahasa Melayu ketiga arahannya selepas Aku Akan Muncul dan Apa Tengok-Tengok. Penggambaran filem ini dijalankan selama 28 hari di Johor Bahru dan Kuala Lumpur dan menelan belanja sebanyak RM1.5 juta, filem ini turut menjalani proses suntingan di Mumbai, India.[5]

Menurut Krishna, filem ini dibuat khas untuk Zero selepas kali pertama melihat penampilan mereka dalam Maharaja Lawak Mega 2014.[6] Beliau berkata: "Sebelum memilih Zero, kami bercadang mengambil Zizan Razak. Suatu hari secara kebetulan saya menonton program itu dan tertarik dengan persembahan dan penampilan Zero. Saya lebih tertarik dengan cara mereka dan berbincang semula. Pada masa sama, tidak sangka pula mereka muncul juara. Jadi, kami tidak mengambil masa lama untuk menawarkan projek ini kepada mereka. Apa yang boleh saya katakan, filem ini memang didedikasikan khas untuk mereka. Walaupun jalan ceritanya tiada kaitan dengan mereka, tetapi penampilan mereka sebagai watak utama itu yang penting,".

Beliau yang juga cucu kepada pengarah L. Krishnan yang popular dengan filem-filem P. Ramlee ini juga mengakui yang dia menyambung pengajian dalam bidang perfileman selama tiga tahun dan pernah menjadi kru untuk memantapkan lagi bakat pengarahan.