Lumba_haram

Lumba haram adalah satu bentuk perlumbaan bermotor yang diadakan di atas jalan raya awam tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa. Lumba haram sering diadakan di kawasan bandar, luar bandar ataupun di kawasan perindustrian tanpa mengira keadaan trafik, tetapi biasanya diadakan pada waktu tengah malam. Kegiatan lumba haram adalah salah di sisi undang-undang jalan raya kerana membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain serta nyawa pelumba haram itu sendiri. Di Malaysia, menonton perlumbaan haram juga merupakan satu kesalahan kerana akan menggalakkan pelumba haram untuk terus berlumba tanpa menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.Kebanyakan daripada perlumbaan haram yang diadakan di Malaysia adalah melibatkan motosikal dan kereta, namun ada juga kenderaan berat seperti lori dan bas ekspres yang turut mengadakan perlumbaan haram. Kenderaan yang terlibat dalam perlumbaan haram diubahsuai sehingga mencapai kelajuan melebihi 160 km/j dan akibat daripada tiadanya etika pemanduan yang diamalkan, kemalangan jalan raya amat mudah berlaku, selalunya melibatkan kematian..