Sejarah Majlis_Perbandaran_Kajang

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah ditubuhkan secara rasminya pada 1hb. Januari 1997. Sebelum dinaiktaraf Perbandaran, MPKj dikenali sebagai Majlis Daerah Hulu Langat yang mana ianya telah beroperasi sejak 1hb. Januari 1986 di bawah Akta 171, Akta Kerajaan Tempatan 1976. Kawasan pentadbirannya meliputi Mukim Kajang, Mukim Cheras, Mukim Semenyih, Mukim Beranang dan Mukim Hulu Langat.

Rasionalnya, penubuhan MPKj adalah sebagai Pihak Berkuasa Tempatan yang dinamik di mana dapat merancang dan membangunkan kawasan Kajang secara pesat & teratur. Ia berikutan pertambahan penduduk di Mukim Kajang yang semakin pesat dari tahun ke tahun. Selain itu penubuhan MPKj bersesuaian kerana semakin banyak pembukaan kawasan-kawasan perumahan & pembangunan projek mega di sekitar kawasan pentadbiran MPKj.

Majlis Perbandaran Kajang kini mempunyai beberapa rangkaian pejabat-pejabat kecil / pejabat cawangan iaitu di Bandar Tun Hussein Onn Cheras dan Hentian Kajang Jalan Reko. Keluasan kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang adalah seluas 78,761 hektar (787.61 km persegi).

Majlis Perbandaran Kajang sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sentiasa berusaha mensejahterakan hubungan dengan Kerajaan Pusat & Kerajaan Negeri. Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan adalah pemegang berkepentingan yang menyusun dasar-dasar yang merangkumi pelbagai aspek perancangan, pembangunan dan pengurusan untuk digunapakai oleh PBT seluruh negara termasuk MPKj.[1]