Kematian Marcella_Mendl

Sultan Sir Ibrahim dan Marcella mula menetap di Grosvenor House, London pada tahun 1957. Pada 8 Mei 1959, Sultan Sir Ibrahim telah mangkat dan jenazahnya telah dibawa pulang ke Johor Bahru untuk upacara pengebumiannya. Upacara tersebut telah dihadiri oleh beliau dan puterinya, Tunku Miriam yang berusia 9 tahun. Selepas kemangkatan suami beliau, beliau telah menerima wang pencen daripada kerajaan Johor sebanyak seribu dolar dan akan dihentikan pemberiannya jikalau beliau berkahwin semula.

Pada 1 Jun 1983, beliau akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir di Grosvenor House, London akibat daripada penyakit beliau yang tidak dapat diubati. Beliau dikebumikan di Makam Sultan Abu Bakar di Johor Bahru, Johor. Makam tersebut dinamakan bersempena dengan nama ayah kepada Sultan Sir Ibrahim iaitu Sultan Sir Abu Bakar, Sultan Johor Moden pertama.