Sinopsis Married_Tapi_Benci

Mengisahkan kisah cinta dua remaja yang terpaksa berkahwin di usia muda akibat diperangkap orang ketiga. Kamal lakonan Shafiq Kyle merupakan pelajar kolej yang digilai ramai. Kehadiran pelajar baharu di kolej iaitu Rina lakonan Azira Shafinaz dengan menaiki motor berkuasa tinggi telah menarik minat Kamal untuk cuba memikat ditambah lagi Rina turut mempunyai raut wajah yang jelita. Rina yang benci dengan lelaki akhirnya telah memalukan Kamal di hadapan ramai pelajar lain.

Dalam pada masa yang sama Rina semakin rapat dengan Daniel lakonan Mustaqim Bahadon yang juga merupakan musuh ketat Kamal. Kamal tidak mahu Rina terperangkap dengan sikap Daniel yang hanya pandai mengambil kesempatan ke atas wanita. Satu hari, Kamal mengenakan Daniel dengan memutuskan brek motor Daniel tetapi malangnya Rina yang menjadi mangsa kerana dia bertukar motor dengan Daniel.

Kamal merasa bersalah namun takut untuk mengakui kesalahannya. Hubungan mereka mulai rapat setelah mengetahui kisah sebenar Rina yang membuatkan dia sedikit memberontak. Daniel pula menyimpan dendam dengan memerangkap mereka berdua sehingga ditangkap khalwat. Ibu bapa mereka bersetuju untuk mengahwinkan mereka berdua sebagai jalan untuk mereka belajar untuk menjadi lebih bertanggungjawab untuk masa depan mereka.Walaupun berkahwin, mereka masih lagi meneruskan aktiviti lasak dan tidak begitu peduli dengan urusan di antara satu sama lain. Kamal masih lagi dengan basikalnya, begitu juga Rina yang sering bersama dengan teman rapatnya. Tetapi dalam tidak sedar, mula muncul perasaan sayang antara Kamal dan Rina. Daniel masih lagi tidak berpuas hati dan ingin menghancurkan kebahagiaan mereka dengan melakukan pelbagai muslihat demi melunaskan dendam yang masih lagi terpalit di hati.