Sejarah Masjid_Kampung_Berisu

Masjid Kampung Berisu telah dibina sekitar tahun 1922 di atas tanah yang diwakafkan untuk dijadikan tapak bagi mendirikan sebuah masjid di kampung Berisu. Hasrat murni Allahyarhamah ini diberitahu kepada anaknya Allahyarham Mohammad bin Ibrahim bagi melaksanakan hasratnya. Keikhlasan keluarga ini telah disambut dengan rasa terharu dan bangga oleh Allahyarham Penghulu Haji Said Bin Tajid, Bilal Jusohdan rakan-rakan sekampung. Dengan itu, Penghulu Haji Said bin Tajid dan penduduk kampung sepakat untuk mengumpulkan dana untuk membina masjid.Ini kerana tapak untuk medirikan masjid telah ada.

Penduduk kampung Berisu bersama-sama turut menyumbang, malah ada segelintir dari penduduk kampung Berisu dikala itu, sanggup menjual, sebahagian dari tanah mereka bagi bersama-sama menyumbang kepada tujuan tersebut. Dengan berbekalkan dana yang ada dan tulang empat kerat bersama semangat yang gigih, Allahyarham Penghulu Said dan rakan-rakan memulakan kerja-kerja penambakan dan meratakan tanah yang diwakafkan tadi beramai-ramai secara bergotong-royong. Kereta lembu digunakan ketika itu, bagi mengangkut pasir, batu dan kayu dan masjid itu dibina secara gotong royong untuk mengalas kayu-kayan yang sederhana, bagi mendirikan atap masjid. Masjid ini siap dibina dalam tahun 1926 dengan derma orang ramai.