Sejarah Masjid_Peringgit

Masjid asal Peringgit yang dibina pada tahun 1414 Hijrah (1726 Masihi) telah musnah akibat sebuah kebakaran. Masjid baharu pula telah dibina pada tahun 1293 H (1868 M). Ianya adalah masjid tradisional Negeri Melaka. Berbentuk empat segi, bahan binaan terdiri daripada batu laterite dan batu bata era Belanda sebagai asas dan dinding, Lantai masjid diperbuat daripada susunan terracotta. Loteng, perabung, kekisi tingkap dan pintu dibuat dari kayu. Tiga lapisan bumbung adalah ciri utama masjid di Melaka. Gentingnya terdiri daripada genting china pada bahagian verandah dan genting Belanda pada bumbung tengah dan bumbung utama. Bahagian kubah atau puncak dibuat dari batu karang berukir seperti yang dapat dilihat.

Pada tahun 1978 dan 1979 kerajaan Negeri Melaka telah menambah besar bahagian belakang masjid ini dengan binaan konkrit yang melenyapkan tangga utama, perigi, kolah, susunan terracotta dan batu-bata era Belanda di bahagian lantai terracotta di beranda ditukar kepada jubin moden. Di bahagian sisi sebelah kanan telah dibina binaan tambahan yang digunakan sebagai kelas Fardu Ain untuk kanak-kanak setempat.

Apabila Masjid Negeri siap dibina pada tahun 1988, Masjid Peringgit tidak lagi digunakan untuk solat Jumaat kerana kedudukannya yang berhampiran dan kariah masjid berpindah ke Masjid Negeri. Masjid Peringgit digunakan oleh penduduk setempat untuk solat harian sahaja. Lama kelamaan banyak dari kerja kayunya yang rosak disebabkan anai-anai dan air hujan sehingga ianya tidak lagi selamat untuk digunakan.