Sejarah Masjid_Solok_Duku

Kampung Solok Duku adalah merupakan sebuah perkampungan Melayu, terletak lebih kurang 1.5 km dari pekan Masjid Tanah menghala ke Bandar Melaka. Keluasan kawasan pentadbiran lebih kurang 24 batu persegi.. Kampung ini telah wujud (dimaklumkan secara lisan ) sebelum peperangan Datuk Naning. Oleh sebab itu, keseluruhan penduduk kampung ini bertutur dalam dialek Negeri Sembilan.

Nama Solok Duku dipercayai telah diambil dari beberapa batang pokok Duku yang hidup di tebing sungai. Dari kawasan inilah, bermulanya kawan perkampungan dan berkembang hingga sekarang. Masjid Solok Duku pada awalnya dibina deangan cara bergotong royong menggunakan bahan kayu dan beratapkan daun rumbia. Pada tahun 1927, sebuah masjid yang dibina dari bahan batu serta beratapkan genting juga dibina secara bergotong royong. Bentuknya sama seperti Masjid Kampung Hulu, masjid Lama Masjid Tanah dan Trangkera.

Pada 26 Mac 1982, usaha untuk membaik pulih bangunan masjid ini telah dibuat dan keputusan diambil untuk menggantikan masjid lama kepada bangunan baru diatas sekeping tanah yang diwakafkan dengan keluasan 1 ekar. Oleh yang demikian, sebuah masjid baru selesai dibina dan dapat digunakan dengan kemudahan air dan api oleh kerajaan dan dirasmikan oleh TYT Negeri Melaka.dan masjid ini kemudiannya dinamakan Masjid Nurul Ehsan.

Penduduk kampung ini terdiri daripada 434 kelamin (rumah) berbangsa Melayu beragama Islam, manakala bangsa lain seperti India dan Cina lebih kurang 35 orang. Pekerjaan utama penduduk kampung ini ialah petani dan penternak. Hasil utama seperti getah dan buah buahan. Pada masa ini, kebanyakannya telah mempunyai pekerjaan tetap.

Masjid ini menawarkan pengajian kitab-kitab pondok setiap hari sabtu, ahad dan selasa selepas waktu maghrib.

Masjid ini memerlukan bantuan kewangan untuk menaiktarafkan bangunan masjid. Sumbangan derma amat dialu-alukan.