Sejarah May_(kugiran)

Kumpulan MAY ditubuhkan pada 1985 oleh 4 orang anak muda daripada kampung Manjoi, Ipoh, Perak yang mengikuti langkah SYJ dengan menubuhkan sebuah kumpulan muzik aliran keras. Nama MAY diambil sempena pangkal huruf nama timang-timangan keempat-empat mereka iaitu 'M' bagi nama Mus (Mustaffa Din) dan Man (Sharip), 'A' bagi Abu (Nasir) dan 'Y' bagi Yus (Mohktar). M.A.Y. mula menyertai pertandingan Battle of Rock peringkat negeri Perak pada tahun 1986 di mana mereka muncul sebagai juara. Kemudian kumpulan M.A.Y.menyertai pertandingan Battle of Rock Malaysia pada tahun yang sama. Dalam pertandingan Battle of Rock Malaysia 86 anjuran Lokman Junit dan Dewi Suhana Studio, Johor Bharu tersebut, kumpulan M.A.Y. muncul sebagai juara. Manakala penyanyi utama kumpulan M.A.Y., Mus telah muncul sebagai vokalis terbaik.

Selepas kejayaan pada pertandingan Battle of Rock 1986, kumpulan M.A.Y. telah muncul dalam satu album bersama empat lagi kumpulan rock dari siri pertandingan Battle of Rock. Album yang berjudul Juara-Juara Rock 1 tersebut menampilkan kumpulan M.A.Y., Burnmarks (Johor), D'Febians (Johor), Scandals (Kuala Lumpur) & Metalian (Selangor). Album yang diterbitkan pada Januari 1987 itu menampilkan 2 lagu dari setiap kumpulan.Selepas kejayaan album Juara-juara Rock 1, pihak syarikat rakaman Warnada telah menerbitkan album Juara-Juara Rock 2 pada bulan Mei 1987 dengan konsep yang sama. Album Juara-juara Rock 3 pula diterbitkan pada Disember 1987.Antara lagu-lagu popular dari album Juara-Juara Rock adalah Derita Bangsa, Sketsa Sebuah Cinta dan Bayangan Hidup.

M.A.Y muncul dengan album penuh pertama pada tahun 1988 selepas kejayaan album Juara-Juara Rock 1, 2 & 3 pada tahun 1987. Album pertama kumpulan M.A.Y diberi judul Dilema diterbitkan pada Februari 1988. Semua lagu dalam album Dilema dicipta dan diolah sendiri oleh anggota kumpulan M.A.Y. Album tersebut diterbitkan oleh Raymond Lim di bawah penerbitan Syarikat Warnada.Antara lagu-lagu hits dari album tersebut adalah Sketsa Sebuah Cinta, Ku Dalam Dilema, Kau Masih Lena dan Tiada Lagi Engkau. Album Dilema berjaya dijual melebihi 25,000 unit dan melayakkan kumpulan M.A.Y menerima Cakera Emas. M.A.Y. juga banyak menerima undangan pertunjukan pentas selepas kejayaan album Dilema.

Album kedua kumpulan M.A.Y., Hakikat menyusul pada Januari 1989. Album Hakikat diterbitkan oleh Thomas Ham di bawah Syarikat Warnada. Lagu-lagu dalam album tersebut kebanyakannya dicipta oleh anggota M.A.Y. sendiri. Antara lagu-lagu hits dari album Hakikat adalah Sendiri, Cintamu Mekar Dihatiku, Dalam Kembara & Cintaku Sewangi Kasihku.Album Hakikat berjaya dijual melebihi 200,000 unit dan melayakkan kumpulan M.A.Y. dianugerahkan Cakera Platinum Kembar Empat. Album Hakikat juga berjaya memasuki pasaran Indonesia dan memasuki peringkat akhir Juara Lagu 89 dan menjuarai beberapa carta lagu popular seperti Pujaan 10 Nescafe.Kumpulan M.A.Y. juga terlibat dengan konsert berskala besar seperti Konsert Kotaraya.Album ketiga M.A.Y., Rahsia diterbitkan pada Ogos 1990. Album yang menampilkan irama heavy metal itu mengandungi lagu-lagu hits seperti Gadis Bertudung Putih, Diari Cinta Pertama & Terukir Janji. Album yang diterbitkan oleh Thomas Ham tersebut menampilkan lagu-lagu ciptaan komposer lain seperti J.S. Kevin. Rahsia berjaya dijual melebihi 100,000 unit dan melayakkan M.A.Y. menerima cakera platinum berkembar dua.

Selepas album ketiga, Rahsia, M.A.Y. meninggalkan Syarikat Rakaman Warnada dan menyertai syarikat rakaman yang baru, Syarikat Muzik Antares. M.A.Y. menghasilkan album keempat berjudul Strategi bersama Music Antares pada tahun 1991. Album Strategi diterbitkan oleh M.A.Y. dan Adeeb Abdullah selaku penerbit eksekutif, manakala Nan (Saturnine) bertindak sebagai penolong penerbit.Lagu-lagu dari album Strategi antaranya Abadi, Empat Sudut Berdiri & Sendiri Untuk Kemana. Album Strategi kurang mendapat sambutan seperti album Hakikat & Rahsia.

Kumpulan M.A.Y berpecah selepas kegagalan album keempat mereka tersebut. Mus menubuhkan kumpulan Strangers bersama Nan (ex-Saturnine - guitar), Bad (ex-Handy Black - Bass) & Black (ex-Wings - drum). Kumpulan Strangers sempat menghasilkan sebuah album bertajuk Strangers pada tahun 1992. Lagu-lagu dari album Stangers seperti Satu Pengertian, Mahligai Impian & Bukit Sunyi. Album terbitan Warnada itu merupakan album pertama & terakhir Strangers sebelum berpecah.

Manakala anggota kumpulan M.A.Y. yang lain berjaya mendapatkan bekas vokalis Rusty Blades, saudara J Yantzen sebagai vokalis baru M.A.Y.

Bersama Yantzen, kumpulan M.A.Y. menghasilkan album Zeit Geist pada tahun 1992. Album terbitan syarikat rakaman SRC dengan Allahyarham Samad Mean (ex-guitarist Lefthanded) bertindak sebagai penerbit album itu menampilkan irama heavy metal. Album tersebut mengembalikan era kegemilangan kumpulan M.A.Y. Album tersebut mendapat sambutan hebat dan berjaya dijual melebihi 100,000 unit. Kumpulan M.A.Y. juga kembali mendapat undangan mengadakan konsert live di tapak pesta, ekspo & konsert bergerak.

Berikutan kejayaan album Zeit Geist, kumpulan M.A.Y. yang masih mengekalkan Yantzen sebagai penyanyi utama, muncul dengan album ke-6 mereka, Wira Cyborg pada tahun 1994. Album Wira Cyborg masih mengekalkan Samad Mean selaku penerbit dan diterbitkan oleh Syarikat Suria Record. Lagu-lagu popular dari album Wira Cyborg adalah Suci & Hasrat Cinta & Tuhan.

Album Wira Cyborg turut mendapat sambutan baik dari peminat. Album tersebut berjaya dijual melebihi 100,000 unit. Selepas album Wira Cyborg, kumpulan M.A.Y. sempat merakamkan semula lagu-lagu popular mereka dari album terdahulu disamping lagu-lagu baru. Album yang diberi judul Layar dipasarkan oleh Suria Rekod pada tahun 1995, walaupun kumpulan M.A.Y. telah berhijrah ke Syarikat BMG pada ketika itu. Album Layar diterbitkan oleh saudara Samad Mean. Album Layar mengandungi lima lagu hits M.A.Y. yang dirakamkan semula dan dinyayikan oleh Yantzen dan lima lagu baru yang belum dirakamkan seperti Layar, Membantah Kata, Dimana Harga Dirimu, Jauh Rasanya dan Arca Kehidupan.

Pada tahun 1995 kumpulan M.A.Y. telah menghasilkan album studio ke tujuh mereka, Ideologi bersama Syarikat Rakaman BMG Music. Album yang diterbitkan oleh Samad Mean itu masih mengekalkan rentak hard rock di sulami dengan lagu slow rock. Antara lagu-lagu menarik dalam album Ideologi adalah Janji, Ikhlas, Trajis Impi dan Cinta Yang Tersia. Album Ideologi tidak mendapat sambutan sehebat album Zeit Geist dan Wira Cyborg walaupun dari segi kualiti lagu lebih baik dari album terdahulu.

Selepas album Ideologi, Yantzen telah mengundurkan diri dari kumpulan M.A.Y. Kumpulan M.A.Y. terpaksa menguji penyanyi baru untuk mengggantikan tempat Yantzen. Akhirnya bekas penyanyi kumpulan Lipanbara, Oney dipilih sebagai penyanyi utama M.A.Y.

Bersama Oney, kumpulan M.A.Y telah menghasilkan sebuah album baru, Penaklukan pada tahun 1996. Album yang diterbitkan oleh saudara Salman Shariff itu mengandungi lagu hit Jemu. Pada tahun 1997 kumpulan M.A.Y. bersama Oney merakamkan semula lagu-lagu 60-an yang diberi nafas rock disamping 2 lagu baru.

Rujukan

WikiPedia: May_(kugiran) http://80an.blogspot.com/2011/09/satu-lagi-kumpula... http://budakbarong.blogspot.com/2011_01_15_archive... http://catatan-memori.blogspot.com/2014/02/kumpula... http://rizmum.blogspot.com/2010/04/abu-may.html http://freewebs.com/kumpulanmay http://www.mohdzaid.com/2010/02/02/album-review-th... http://www.muzikrock.com/may_01.html http://malayaneum.tripod.com/may.htm http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&d... http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/201...