Sinopsis Melur_Untuk_Firdaus_(musim_2)

Musim baharu ini bermula dengan kisah rumah tangga Melur (Anna Jobling) dan Firdaus (Meerqeen) yang kini kembali bahagia. Kedua-dua mereka ingin mengukuhkan perhubungan mereka namun mereka sentiasa berhadapan dengan pelbagai rintangan dalam mencari kebahagiaan. Tambahan pula, Firdaus terpaksa mengendalikan projek syarikat di luar bandar, menyebabkan dirinya sibuk dengan kerja dan banyak meluangkan masa dengan rakan sekerjanya Mawar (Eyka Farhana).

Melur teruja untuk mengembangkan kerjayanya dalam dunia penulisan buku kanak-kanak. Dalam usaha membuka syarikat penerbitan novel kanak-kanak, rakan kongsinya, Zackery (Azim Yusof) dalam diam menaruh hati kepada Melur.

Pada masa yang sama, Lili dan anaknya Damia kini hidup lebih tenang setelah suaminya Zain dipenjarakan. Namun, apabila Zain dibebaskan dari penjara, Lili mula rasa resah kerana trauma dengan perbuatan Zain memukulnya. Melur memujuk Lili supaya berdoa agar Zain insaf dan berubah perangai.

Mawar pula sebenarnya ingin bercuti ke luar negara tetapi ayahnya Tuan Idrus memaksa Mawar bekerja supaya bersedia untuk mengambil alih syarikatnya suatu hari nanti. Mawar enggan bekerja sehinggalah suatu hari secara kebetulan bertemu dengan Firdaus dalam situasi yang membuatkan hati Mawar bergelora. Peristiwa ini membuatkan Mawar terus bersemangat untuk bekerja.

Mampukah pasangan Melur dan Firdaus ini mengekalkan hubungan cinta mereka walau diuji dengan pelbagai rintangan?