Produksi Misha

Adnan turut mengundang komposer terkenal Indonesia, Tohpati untuk sama-sama merakamkan suara Misha. Tohpati membawakan dua buah lagu ciptaan Imaniar Noorsaid iaitu Semoga Abadi dan Jangan Berakhir yang berentak pop R&B untuk dirakamkan Misha. Ketika dalam proses rakaman Misha menunjukkan kebolehannya sebagai penulis lirik melalui lagu ciptaan Adnan bertajuk Kau Yang Amat Ku Sayang dan Lilitan Asmara. Lirik itu penuh bermakna kerana dihasilkan secara spontan dan dalam waktu yang singkat ketika berada dalam studio rakaman.

Belum berkesempatan mencipta nama, namun bakat Misha dalam arena seni suara mula menjadi perhatian komposer dan penyanyi jazz luar negara, Jim Brickman, yang sanggup memberikan lagu untuk dirakamkan semula oleh Misha selepas dia mendengar demo tape yang dihantar pihak BMG Music tidak lama sebelum itu.

Namun, peluang Misha memperkenalkan namanya agak terhad kerana dia masih menuntut. Kebanyakan undangan persembahan yang ditawarkan terpaksa tolak kerana mengganggu kuliah. Sesi fotografi bersama media pun banyak yang tidak dilaksanakan memandangkan Kota Bahru dan Kuala Lumpur jauh. Kesempatan mengadakan persembahan hanya di hujung minggu saja. Atas sebab itu, tidak hairan kalau orang hanya kenal lagu BBC , tapi tak tahu bagaimana rupa penyanyinya. Misha mengakui sambutan hangat lagu tersebut ada kalanya membuatkannya berbelah bagi antara pelajaran dan kerjaya. Tambahan pula teman-teman dan pensyarah di tempat pengajiannya memberi sokongan penuh bergiat aktif dalam bidang seni.

Berkat kesabaran biarpun merakam album sulungnya disaat namanya disebut-sebut ekoran fenomena BBC, Misha berjaya juga menyudahkan rakaman penuh 14 buah lagu untuk album ini yang menemui pendengar pada 28 Oktober 2002 dengan susulan single kedua berjudul Lilitan Asmara.