Sinopsis Muallaf_(filem)

Brian Goh (Brian Yap) merupakan seorang guru Sejarah di sebuah sekolah menengah di Ipoh, Perak. Kerapkali dia menerima panggilan telefon daripada ibunya di kampungnya di Pulau Pinang yang memujuknya supaya pulang ke rumah dan menemaninya ke gereja setiap Ahad. Namun, Brian sentiasa menolaknya dengan alasan bahawa dia sibuk dengan kerjanya.

Rohani (Sharifah Amani), 20 tahun, dan adiknya Rohana (Sharifah Aleysha), 14 tahun, tinggal di sebuah banglo yang terbiar. Mereka berdua telah melarikan diri daripada ayah kandung (Datuk Rahim Razali) mereka yang bergelar 'Datuk' yang bengis. Ayah mereka juga kerapkali pergi ke kelab malam dan meminum bir, amalan yang jelas haram di sisi Islam. Dengan kesedaran bahawa dia tidak boleh bergantung kepada dana amanah yang ditinggalkan arwah ibunya sepanjang hidup dan juga untuk mengelakkan diri daripada dikesani konco-konco ayahnya pada waktu siang, Rohani terpaksa bekerja di sebuah pub (Sid's Tavern & Cafe) pada lewat malam untuk menyara pendidikan Rohana. Bagaimanapun, Rohani sentiasa memberitahu pelanggan bar tentang keburukan arak terhadap kesihatan malah menawarkan air mineral. Akibatnya, dia dipecat oleh majikannya, Patrick, setelah mendapat tahu daripada rakan sekerjanya, Cindy.

Kedua-dua Rohani dan Rohana mempunyai amalan pelik yang sentiasa menyebut ayat dari kitab Al-Qur'an, termasuk ayat dari Tao Te Ching dan kitab Injil. Rohana yang kerap berbuat begitu menimbulkan kemarahan guru Pendidikan Seninya, Puan Siva. Pengetua sekolahnya, Bro. Anthony mendapat tahu akan amalan pelik itu dan, bersama Brian (yang mengajar di sekolah Rohana), tekad untuk mengetahui lebih banyak tentang adik-beradik itu. Brian terutamanya tertarik kepada amalan yang 'luar biasa' itu dan berminat terhadap terjemahan bahasa Inggeris Al-Qur'an yang dimiliki Rohani, di mana dua beradik itu seringkali memetik dan menyebut ayat-ayat darinya.

Hubungan mereka bertiga bertambah erat sehinggalah Rohani dan Brian masing-masing berkongsi masa lampau mereka. Brian hilang kepercayaannya terhadap agama Kristian semasa berusia 12 tahun, akibat dikesan oleh ayahnya membaca bahan pornografi dan melakukan perkara yang kurang senonoh lalu ditelanjangkan dan dibiarkan berdiri di tepi jalan. Ibunya tidak dapat berbuat apa-apa selain melihat sahaja. Pada hakikatnya, ibu bapanya menyayanginya bagai menatang minyak yang penuh. Perihal Rohani pula ialah dia telah tanpa sengajanya menunjukkan ketidakhormatanan kepada ayahnya yang melakukan perkara haram, lalu menimbulkan kemarahan ayahnya yang mencukuri kepalanya sehingga botak.

Biarpun demikian, Rohani dan Rohana tetap teguh dengan keimanan mereka dan bersolat seperti biasa serta berbincang sesama sendiri tentang Islam berdasarkan terjemahan Inggeris Al-Qur’an yang dimiliki arwah ibu mereka. Lantaran mereka juga menjadikan satu amalan untuk memaafi mereka yang telah menyinggung mereka tatkala siang hari sebelum masuk tidur. Ini menjadikan mereka seolah-olah tidak apa-apa pada setiap saat. Rohani cuba memujuk Brian untuk menemani ibunya ke gereja setiap Ahad namun dia seolah-olah masih degil.

Sehinggalah suatu hari, ayah Rohani merampas Rohana darinya di sekolahnya dan Rohani mengejar mereka sehingga ke Kuala Lumpur. Sebelum dia pergi, dia meminta Brian untuk menjaga kediamannya dan menyuruhnya agar tidak mencarinya jikalau dia tidak kembali pada hari Jumaat pada minggu itu. Pada hari Jumaat, Rohani menelefon Brian dan memberitahunya bahawa ayahnya telah kena strok dan mahu tinggal di sana untuk menjaganya. Dia membuat percubaan terakhir untuk memujuk Brian kembali bertemu dengan ibunya dan akhirnya berjaya. Paparan terakhir filem menunjukkan Brian memandu dengan cepat kembali ke kediaman Rohani, di mana dia mengetuk pintunya dan ia dibuka untuk membenarkannya masuk.

Rujukan

WikiPedia: Muallaf_(filem) http://stars.zaobao.co$m/pages6/movies081128.shtml http://www.moviexclusive.com/review/muallaf/mualla... http://www.todayonline.com/articles/289783.asp http://www.ustaznoramin.com/2010/04/hukum-muslimah... http://stars.zaobao.com/pages6/brian081124.shtml http://www.alsofwah.or.id/?pilih=lihatfatwa&id=289 http://www.sinemamalaysia.com.my/main/index.php?mo... http://www.rumahfilm.org/resensi/resensi_muallaf.h... http://www.rumahfilm.org/wawancara/wawancara_yasmi... http://www.razor.tv/site/servlet/segment/main/ente...