Muallim ialah daerah kesebelas di negeri
Perak. Ia telah diisytiharkan oleh
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah pada 11 Januari 2016 di Dewan Seri Tanjong Majlis Daerah
Tanjung Malim.
[4][5]Daerah ini sebelum ini adalah sebahagian daripada daerah
Batang Padang. Ia berkeluasan 93,434.65 hektar (934.3465 km2) dan merangkumi tiga mukim:
Slim,
Hulu Bernam Timur dan
Hulu Bernam Barat. Kawasan-kawasan yang dirangkumi daerah ini termasuk
Tanjung Malim,
Trolak,
Slim River,
Proton City dan sebahagian
Behrang.
[5][6] Populasi daerah ini sewaktu pengisytiharannya adalah 69,639.
[4] Daerah Muallim terletak dalam Parlimen Tanjung Malim dengan dua Dewan Undangan Negeri: Slim dan Behrang.
[6][7]Asal nama daerah Muallim adalah daripada perkataan
Arab muallim yang bermaksud orang yang ahli dalam bidang agama. Nama yang berkaitan ilmu dan ilmuwan ini dipilih berdasarkan latar sejarah daerah ini: di daerah ini terletaknya
Maktab Perguruan Sultan Idris yang menjadi pusat pengajuan tertinggi tempatan untuk orang Melayu sewaktu zaman pra-kemerdekaan Tanah Melayu dan melahirkan golongan pemikir Melayu yang mendorong nasionalisme bangsa dan perjuangan menuntut kemerdekaan.
[5][6][8]Daerah ini telah mendapat kelulusan Kabinet pada 10 April 2015 dan telah diwartakan pada 1 Oktober tahun yang sama.
[6][9] Nor Sham Rahman telah dilantik sebagai Pegawai Daerah bagi daerah ini pada 1 Disember 2015, menjadikan beliau wanita kedua yang dilantik sebagai Pegawai Daerah di Perak selepas Latipah Sehibi yang telah dilantik sebagai Pegawai Daerah
Kampar pada April tahun tersebut.
[9]