Muzik_klasikal

Muzik klasikal (atau bahasa Malaysia, Muzik klasik) adalah seni muzik yang berakar umbi dari tradisi kebudayaan Eropah yang digunakan dalam muzik sekular dan keagamaan. Ia merujuk kepada muzik dari jangka masa yang luas dari sebelum abad ke-6 masihi sehingga ke hari ini. Istilah muzik klasikal juga digunakan untuk merujuk kepada muzik dari tempoh 1730 hingga 1820 yang dikenali sebagai muzik era klasikal. Istilah muzik klasikal tidak wujud sehingga ke awal abad ke-19. Ia diperkenalkan di dalam usaha untuk membawa era Bach hingga ke era Beethoven sebagai salah satu seni yang tinggi seperti zaman kegemilangan seni ukiran arca, seni bina dan antikuiti klasik. Ini adalah kerana, kebiasaannya seni muzik tidak kekal lama hayatnya. Semenjak dari itu, istilah ini digunakan sebagai genre muzik yang memberi maksud bukan muzik tradisi lama atau muzik pop. Nota: Bahasa Inggeris memberi penjelasan terperinci mengenai perbezaan classic dan classical; yang mana classic (klasik) ialah istilah umum untuk barang lama bermutu tinggi, manakala classical ialah istilah yang spesifik merujuk kepada muzik tradisi Eropah. Oleh kerana sesetengah bahasa (termasuk terjemahan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia) memilih untuk menterjemahkan Classical music sebagai "Muzik Klasik", pemahaman sebenar istilah ini amat penting untuk mengelakkan kekeliruan. Muzik klasikal tidak boleh disamakan dengan muzik klasik kerana muzik ini masih digubah sehingga ke hari ini.