Muzium Pemerintahan Demokrasi yang terletak di bangunan Dewan Undangan Negeri
Melaka ini,telah disempurnakan perletakan batu asasnya oleh Tuan Yang Terutama
Tun Haji Abdul Malek bin Yusof S.M.N, D.M.K.,
Gabenor Negeri Melaka pada 31
Ogos 1961.Ia merupakan tempat persidangan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri Melaka dan Pembentangan
Belanjawan Negeri. Persidangan
Dewan Undangan Negeri dipengerusikan oleh seorang Speaker yang dipilih daripada kalangan Ahli-ahli Dewan sendiri.Bagi Ahli-ahli Dewan, mereka dipilih melalui
pilihanraya dan akan menganggotai Dewan selama lima tahun (kecuali Dewan Undangan Negeri dibubarkan). Ahli-ahli Dewan juga dibataskan kepada mereka yang berumur 21 tahun ke atas dan bermastautin di Negeri Melaka. Pada bulan
Februari 2000, Dewan Undangan Negeri ini tidak lagi digunakan setelah kerajaan membina sebuah bangunan yang memusatkan urusan dan pengurusan pentadbiran di
Ayer Keroh termasuk Dewan Undangan Negeri. Kini, bangunan ini telah dijadikan Muzium Pemerintahan Demokrasi yang mempamerkan maklumat pemerintahan termasuk amalan demokrasi di
Malaysia. Ia turut memaparkan susur galur mengenai sejarah awal
Tanah Melayu mencapai kemerdekaan sehingga kepada kejayaan-kejayaan cemerlang yang dikecapi oleh negara ini dalam sistem pemerintahannya.Dengan wujudnya muzium ini, ia diharapkan dapat memberikan kefahaman tentang bentuk pemerintahan yang dilaksanakan di Malaysia dan sistem kenegaraannya.