Karier Nani

Karier Awal

Merupakan penyokong Porto, Nani bermain bola sepak di peringkat junior bersama-sama Ricardo Vaz Tê di kelab Real Sport Clube sebelum menyertai pasukan remaja Sporting CP.

Sporting CP

Nani membuat penampilan sulung untuk Sporting pada 2005-06, membuat 29 penampilan dan menjaringkan 4 gol. Pada musim kedua, beliau turut membuat penampilan 29 penampilan dan berjaya menjaringkan 5 gol. Beliau turut bermain dalam 6 perlawanan di peringkat Eropah dan menjaringkan satu gol.

Manchester United

Nani menyertai Manchester United dengan yuran perpindahan yang tidak dinyatakan, dengan laporan menganggarkan jumlah tersebut adalah di sekitar £14–17 million. Melepasi ujian perubatan pada 5 Jun 2007, Nani menandatangani kontrak 5 tahun sebulan selepas itu.

Penampilan sulung Nani dengan United hadir dalam perlawanan persahabatan pra-musim menentang Shenzhen, yang mana beliau menjaringkan gol ketiga dalam perlawanan yang menyaksikan United menang 6-0.

Pada 5 Ogos 2007, Nani membuat penampilan sulung kompetitif pertama untuk United sebagai pemain gantian dalam perlawanan Perisai Komuniti menentang Chelsea yang mana berakhir dengan trofi sulungnya selepas United memenanginya menerusi penentuan penalti.

Penampilan sulung liga pertama buat United hadir dalam perlawanan pembukaan menentang Reading di Old Trafford pada 12 Ogos, yang mana beliau masuk menggantikan Wayne Rooney yang mengalami kecederaan. Pada 26 Ogos 2007, Nani menjaringkan gol kompetitif pertama untuk United ketika perlawanan menentang Tottenham Hotspur yang berkesudahan 1-0 untuk United. Beliau seterusnya memainkan peranan penting dalam gerakan untuk Louis Saha dan Nemanja Vidić dalam perlawanan menentang Sunderland dan Everton. Beliau kembali ke Sporting dalam pertemuan Liga Juara-Juara Eropah pada September dalam perlawanan yang dimenangi United 1-0.

Nani dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan pada 16 Februari 2008 ketika United menumbangkan Arsenal 4-0 dalam perlawanan pusingan keempat Piala FA.

Pada 3 Mei, Nani dibuang padang buat pertama kali dalam kariernya di United ketika perlawanan menentang West Ham United yang dimenangi United 4-1. Pada 21 Mei, Nani masuk menggantikan Wayne Rooney pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah 2008 di Moscow. United memenangi perlawanan tersebut setelah menewaskan Chelsea 6-5 menerusi penentuan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas masa tambahan. Nani menjaringkan penalti penting dalam sepakan kelima dalam penentuan penalti tersebut.

Gol pertama Nani pada musim 2008-09 hadir pada 23 September 2008 yang mana beliau menjaringkan gol ketiga dalam kemenangan 3-1 ke atas Middlesbrough pada pusingan ketiga Piala Liga.

Nani menjaringkan gol sulung pada musim 2009-10 dalam perlawanan Perisai Komuniti menentang Chelsea, yang mana United tewas menerusi penentuan penalti setelah perlawanan terikat 2-2. Karier beliau di United musim tersebut tampak akan berakhir setelah kritikan beliau terhadap Sir Alex Ferguson, namun beliau terus diberikan peluang dan bermain cemerlang dalam perlawanan-perlawanan antaranya menentang Hull City, Manchester City dan Arsenal. Beliau kemudiannya mengatakan kekecewaan beliau terhadap masalah kecederaan yang dialaminya sebelum ini dan prestasi cemerlang beliau telah membawa kepada kontrak baru 4 tahun di United.