Budaya Nasi_daun_pisang

Secara kebiasaan, daun pisang akan diletakkan dengan pucuk daun menghala ke arah kiri pelanggan, sungguhpun ia bukanlah sentiasa diikuti di tempat lain. Langkah ini disebabkan daun pisang lebih lebar di pangkalnya, dengan itu kedudukan pangkal daun pisang di sebelah kanan memberikan lebih banyak ruang bagi mereka yang menggunakan tangan kanan untuk makan. Ini mengelakkan lauk dari tertumpah dan mengotori meja makan.

Hidangan nasi daun pisang biasanya dimakan dengan menggunakan tangan, oleh itu adalah perlu bagi membasuh tangan sebelum dan selepas makan. Jari digunakan bagi mengaul nasi dan lauk sebelum ia dijemput untuk disuap ke dalam mulut. Pada kebiasaannya nasi tidak akan sampai mengotori telapak tangan. Hidangan nasi daun pisang memiliki bau yang cukup kuat, dan selepas makan pelanggan perlu membasuh tangan dengan menggunakan sabun bagi menghilangkan bau kari pada tangan. Bagaimanapun, kadang-kala bau kari yang kuat itu masih kekal di tangan walaupun selepas dibasuh dengan menggunakan sabun, dan perlu dibasuh beberapa kali lagi.

Pada kebiasaannya orang India Selatan akan meninggalkan sedikit sisa pada daun. Sisa ini sengaja ditinggalkan bagi diberikan kepada serangga, burung dan haiwan.

Selain itu selepas makan, adalah menjadi kebiasaan untuk melipat daun pisang itu. Cara melipat daun pisang itu dikatakan melambangkan samaada anda menikmati hidangan tersebut dan ingin kembali atau sebaliknya. Pada kebiasaannya daun dilipat ke arah diri anda bagi melambangkan anda menikmati hidangan tersebut dan ingin mengulangnya lagi. Sementara melipat ke arah bertentangan biasanya diamalkan di majlis pengkebumian sebagai melambangkan bahawa seseorang itu tidak ingin kembali untuk melalui peristiwa sedih sebegitu lagi.