Plot Nenek_Kebaya_(drama)

Bermula dengan kisah purba mengenai tuduhan percintaan cucu Mak Inang, Indera Laksamana dengan Puteri Sinar Cahaya diketahui oleh Raja Negara, Raja Kembayat Cahaya. Indera Laksamana sudahpun bertunang dengan cucu angkat Mak Inang , Intan Sari yang kemudiannya memusuhi Puteri Sinar Cahaya kerana dianggap perampas kekasihnya. Dendam mula membara apabila Sultan menjatuhkan hukuman mati kepada Indera Laksamana kerana bermain cinta dengan puterinya yang ingin dinikahkan dengan Putera Wira Satria. Mak Inang yang menjadi orang tengah dibutakan matanya dan dibuang ketengah rimba. Intan Sari mengambil keputusan untuk membalas dendam atas kematian tunangannya itu dan dia telah menuntut ilmu daripada Sang Pertapa yang memiliki ilmu yang membawa kejahatan. Bagaimanapun, Intan Sari hanya mempunyai satu pilihan jika ingin membalas dendam iaitu terpaksa menunggu sehingga tujuh keturunan Raja Kembayat Cahaya.

Dendam Intan Sari akhirnya bermula apabila Tuan Adam, iaitu keturunan ketujuh Raja Kembayat Cahaya telah mengahwini cucunya, Samsiah yang selama ini dijaga dan dibesarkan oleh Nenek Putih. Intan Sari kemudian menjelma menjadi Samsiah dan membuat huru hara dalam keluarga tersebut. Marini, iaitu anak perempuan Tuan Adam sememangnya tidak menyenangi ibu tirinya itu kerana dia beranggapan bahawa Samsiah mempunyai niat yang tidak baik terhadap keluarganya. Samsiah yang mengetahui akan hal itu kemudian mula menggoda suami Marini, Hazami dan bertindak menghasutnya agar membunuh isterinya itu. Namun Marini terselamat daripada dibunuh oleh suaminya. Sebaliknya pemandu Tuan Adam, Pak Salleh telah dibunuh oleh Samsiah/Intan Sari disebabkan Pak Salleh telah membongkarkan kejahatan Intan Sari itu kepada Tuan Adam. Namun Tuan Adam tidak mempercayai kata-kata pemandunya itu malah menuduh Pak Salleh sengaja ingin memburuk-burukkan Samsiah. Marini menuduh bahawa Samsiah adalah punca segala kejadian pelik dirumah mereka. Namun Tuan Adam tetap tidak mempercayai kata-kata anaknya itu dan masih membela Samsiah.

Segala kejahatan Samsiah/Intan Sari akhirnya terbongkar setelah Shafie iaitu anak bongsu Tuan Adam kembali ke rumah tersebut. Shafie dan keluarganya merupakan keluarga yang alim dan warak. Bermula dengan anak Shafie yang berasa takut setelah melihat rupa sebenar Intan Sari yang menjelma sebagai Samsiah. Shafie yang yang merasakan ada sesuatu yang pelik dengan isteri baru ayahnya itu kemudian mengatakan akan hal itu kepada ayahnya. Namun Tuan Adam tetap tidak mempercayai kata-kata Shafie. Shafie juga mula menyiasat misteri kematian Pak Salleh. Shafie kemudian menemui seorang ustaz untuk mengesahkan akan kecurigaannya tersebut. Mereka akhirnya berjaya memusnahkan Intan Sari yang selama ini berselindung disebalik tubuh Samsiah dengan bantuan Mak Inang yang sememangnya tidak bersetuju dengan niat jahat Intan Sari selama ini. Tuan Adam akhirnya sedar bahawa terdapat 'makhluk lain' dalam badan Samsiah selama ini yang ingin memusnahkan seluruh keluarganya. Namun Tuan Adam memaafkan Samsiah dan Nenek Putih kerana beranggapan bahawa mereka berdua juga adalah mangsa dendam Intan Sari selama ini.