Sumbangan Nik_Mahmud_bin_Nik_Ismail

Nik Mahmood berjaya membuat perubahan dalam negeri khususnya dalam bidang pentadbiran dan kemasyarakatan. beliau telah menubuhkan Madrasah al-Muhammadiyah al-Kelantani dan beliau sendiri menjadi Naib Yang Dipertua. Beliau turut membuat pembaharuan dalam pengurusan kewangan seperti mengadakan Tabung Kewangan Baitulmal, menyusun program pendidikan dan sistem Undang-undang Syariah di Kelantan. Di samping itu, beliau memainkan peranan penting dalam usaha menubuhkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan pada tahun 1915, serta menyandang jawatan Naib Yang Dipertua MAJLIS (1915-1919). Nik Mahmood turut terlibat dalam beberapa penentangan terhadap penjajah di Kelantan seperti penentangan Tok Janggut (1915).

Nik Mahmood juga adalah seorang penulis yang aktif. Di samping menulis tentang agama islam, beliau juga menumpukan perhatiannya kepada ilmu kebatinan. Antara buku yang telah dihasilkan ialah Kitab Cahaya Pernama (1918), Kitab Geografi dan Tarikh Negeri Kelantan (1926), Ringkasan Cetera Kelantan (1934), Kitab Pati Rahsia (1948), Kitab Perbendaharaan Mastika (1946) dan Tajuk Kemuliaan (1946).

Nik Mahmood dianugerahkan pelbagai bintang dan darjah kebesaran, antaranya Dato’Bentara Setia, Seri Mahkota Kelantan (S.M.K), al-Muhammadi Darjah Pertama dengan gelaran Dato’ Seri Paduka Raja Mahkota Kelantan Yang Amat Berhormat, Seri Paduka Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.J.M.K.) atau Bintang Al-Ismaili daripada Sultan Kelantan, dan anugerah Honorary Commander of the British Empire (C.B.E.) daripada King George V England (1925). Nik Mahmood meninggal dunia pada 16 Ogos 1964.